Langgar ternakan kerap berlaku di Felda - Utusan Malaysia

Langgar ternakan kerap berlaku di Felda

Utusan Malaysia 11 Januari 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemalangan melibatkan haiwan ternakan bukan sahaja berlaku di lebuh raya-lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 LPT2) malah sering terjadi di kawasan Felda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain berkata, agensi berkenaan perlu lebih proaktif memantau dan menguatkuasakan pendaftaran penternak haiwan ternakan di kawasan tanah rancangan bagi mengatasi isu kemalangan membabitkan haiwan ternakan yang semakin meningkat di situ.

“Isu ternakan berkeliaran ini sudah lama berlarutan.Tetapi saya lihat akhir-akhir ni haiwan ternakan ini semakin banyak. Saya rasa sudah sampai masa pihak pengurusan Felda uruskan penternak di bawah Felda ini agar aktiviti ternakan dapat diselaraskan dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bulan lepas sahaja ada dua kematian akibat langgar lembu di sini. Saya anggarkan dalam tempoh November sehingga Disember tahun lalu, tak kurang 15 kemalangan termasuk kemalangan kecil melibatkan langgar lembu yang dilaporkan berlaku. Malangnya sukar nak menentukan pemilik haiwan ternakan yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, akhbar ini mela­porkan, seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan daripada jumlah itu, selain kematian, sebanyak 30 kes kemalangan melibatkan kecederaan parah dan 544 kes lagi cedera ringan.

Lebih membimbangkan, la­luan-laluan utama penduduk di Pantai Timur termasuk LPT2 dan di jajahan Gua Musang yang merupakan pintu masuk ke Terengganu serta Kelantan, terus menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya kerana masalah berkenaan.

Justeru, Mohd. Sharim mencadangkan supaya haiwan ternakan didaftarkan dengan menggunakan kaedah yang membolehkannya mudah dikenal pasti.

“Selain penguatkuasaan dari segi tangkapan, ternakan ini perlu didaftarkan dengan menggunakan kaedah terbaharu penjenamaan agar senang dikenal pasti. Apabila terjadinya kemalangan, kita dapat kenal pasti pemilik yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini dia ada mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar mewujudkan kumpulan sukarelawan untuk menangkap haiwan ternakan berkeliaran, namun dimaklumkan ia tidak dapat dilakukan kerana kekangan undang-undang.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang akan menjalankan satu operasi khas secara besar-besaran pada tahun ini bagi mengekang haiwan ternakan berkeliaran terutama di jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd Razak berkata, tindakan kompaun minimum RM500 bagi setiap ekor haiwan ternakan yang ditangkap boleh dikenakan kepada penternak.

“Kita sudah beri nasihat kepada penternak. Responnya tidak memberangsangkan dan kejadian-kejadian termasuk kemala­ngan berlaku. Kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini