PORT DICKSON: Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang di sini menerima manfaat hasil wakaf iaitu kemudahan kubah pengering solar bernilai lebih RM130,000 yang juga merupakan pertama di negeri ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, kemudahan itu mampu membantu kira-kira 250 nelayan dan asnaf bagi meningkatkan pendapatan masing-masing
“Kubah pengering solar ini adalah hasil daripada dana wakaf orang ramai yang dikumpulkan melalui inisiatif wakaf MAINS.
“Sebelum ini, apabila hasil ikan yang diperoleh berlebihan pun akan jadi masalah jadi kemudahan inj khusus untuk membuat ikan kering.
“Jika tiada kubah kemudahan ini, proses pengeringan ambil masa empat atau lima hari. Kalau cuaca hujan sahaja mungkin akan ambil masa lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kubah Pengering Solar di Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang di Kampung Teluk Pasir Panjang, di sini.
Kemudahan itu membolehkan ikan kecil dikeringkan hanya tiga ke empat jam manakala ikan besar, antara empat ke lima jam untuk dikeringkan.
Katanya bantuan itu amat membantu meningkatkan ekonomi nelayan berikutan ikan kering bernilai tinggi.
“Contohnya, ikan talang di pasar hanya RM5 sekilogram, namun sekiranya diproses menjadi ikan masin, harganya mampu mencecah RM40 sekilogram,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Mohd. Faudzi Mohamed Zakaria berkata, kemudahan yang dimanfaatkan sejak empat bulan itu, berjaya menghasilkan sekitar 50 kilogram ikan masin pelbagai jenis.
“Selain proses lebih cepat, kualiti kebersihan melalui kaedah ini juga lebih baik kerana tertutup berbanding dengan kaedah tradisional yang terdedah dijemur,” katanya.
Katanya, ikan masin juga lebih berdaya tahan iaitu boleh mencecah sehingga dua tahun berbanding ikan segar sekitar yang tahan segar antara dua ke tiga hari sahaja sekiranya di letak dalam ais.
Menariknya ia turut menjadi nilai tambah ekonomi buat nelayan, sebagai contoh ikan jenahak segar di pasaran sekilogram sekitar RM45 hingga RM48 tetapi jika jadi ikan masin ia boleh dijual sekitar RM60 hingga RM70 sekilogram.-UTUSAN










