KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,715 lesen nelayan diluluskan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lalu (2024 dan 2025) bagi membolehkan lebih ramai nelayan beroperasi secara sah serta mendapat akses kepada bantuan kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan tidak memperkenalkan insentif pelesenan khusus pada masa ini, sebaliknya menyediakan peluang kepada nelayan yang belum berlesen untuk memohon menerusi Program Pemutihan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, program berkenaan bertujuan mengisi kekosongan lesen yang telah dibatalkan selain memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.
“Selain itu, nelayan pesisir pantai boleh mengemukakan permohonan lesen sampan khas kepada Pejabat Perikanan Daerah untuk dipertimbangkan tertakluk kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan.
“Pada tahun 2024, sebanyak 915 lesen telah diluluskan untuk seluruh negara di mana sebanyak 31 khusus untuk negeri Perak. Manakala pada 2025, sebanyak 800 lesen telah diluluskan untuk seluruh negara termasuk tujuh lesen di negeri Perak.
“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai nelayan beroperasi secara sah, mendapat akses kepada pelbagai program bantuan kerajaan serta meningkatkan pematuhan terhadap peraturan perikanan demi kelestarian sumber dan kesejahteraan komuniti nelayan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang) sama ada kementerian bercadang memberi kelonggaran bagi tahun 2026 atau memperkenalkan mekanisme khas berkaitan pengeluaran dan pembaharuan lesen penangkapan ikan bagi nelayan Zon A, khususnya nelayan tradisional yang berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan akibat isu pelesenan, sedangkan aktiviti penangkapan ikan merupakan sumber utama pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.
Tambah Mohamad, KPKM melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melaksanakan sistem pelesenan berdasarkan dasar pengawalan kapasiti penangkapan ikan dan pengurusan sumber perikanan secara mampan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.
“Merujuk kepada data perikanan DOF, sebanyak 16,894 vesel sampan telah direkodkan pada tahun 2025.
“Hasil kajian taksiran sumber oleh DOF bagi tempoh 2013 hingga 2016 mendapati sumber perikanan negara telah mengalami kemerosotan yang mana biomas stok ikan hanya berbaki 16 peratus hingga 48 peratus dari stok asal pada tahun 1960-an,” katanya. – UTUSAN










