Hati-hati, semak sebelum ikuti pengajian agama

Hati-hati, semak sebelum ikuti pengajian agama

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir menganugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Mohd. Rafizi Ramli pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena ulang tahun hari keputeraan baginda Ke-77 di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.-JABATAN PENERANGAN NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menasihatkan rakyat yang beragama Islam supaya berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikuti sebarang pengajian ilmu agama.

Baginda bertitah, langkah itu dapat mengelak daripada mereka mengikuti ajaran yang salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam.

“Pada bulan September tahun lepas, negara telah dikejutkan dengan pendedahan me­ngenai penderaan kanak-kanak dan isu buruh paksa yang telah sekian lama berlaku di rumah-rumah kebajikan dan perniagaan kendalian Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ekoran daripada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan turut membuat siasatan dan mendapati bahawa ajaran serta kepercayaan yang diamalkan oleh GISB adalah sama seperti Al-Arqam yang telah diwartakan pada tahun 2016 sebagai sesat dan menyeleweng.

“Beta juga menyeru kepada rakyat yang beragama Islam, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikuti sebarang pengajian ilmu agama. Beta amat berharap dan berdoa agar syiar agama Islam terus kekal terpelihara di negeri ini,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurnia­an Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, semalam.

Baginda turut menyeru kepada pihak berkuasa agama negeri agar sentiasa membuat pemantauan dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat.

“Tindakan yang tegas juga harus dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, berdasarkan Enakmen Syariah Negeri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan pemantauan dan penilaian setiap inisiatif kerajaan perlulah dilaksanakan secara menyeluruh dalam mendepani setiap cabaran demi kebaikan dan kesejahte­raan rakyat Negeri Sembilan.

“Sebagai contoh, tanah-tanah terbiar termasuk tanah adat, perlulah menggunakan kaedah yang sesuai untuk dibangunkan agar memberi pulangan hasil yang dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf hidup.

“Beta amat sukacita apabila mendapati Enakmen Tanah Adat (Lingkungan dan Tanah Mengandung) 2022 telah membuka peluang kepada para pemegang tanah adat untuk menjalankan usaha-usaha pembangunan di tanah mereka.

“Urusan-urusan seperti pe­ngam­bilan balik tanah, pecah bahagian tanah serta serah balik dan beri milik semula untuk tujuan komersial sudah mula dilaksanakan menurut peraturan yang ditetapkan,” titah baginda.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sembah ucapan taat dan setia berkata, institusi beraja di Negeri Sembilan adalah tonggak kekuatan negeri dan rakyat pelbagai kaum dengan Tuanku Muhriz yang berperanan sebagai penaung agama Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini