PASIR SALAK: Musim durian di Kampung Gajah di sini belum berakhir sejak raja buah itu mulai luruh pada Jun lalu.
Bagi pemilik durian, mereka menganggap pokok yang masih berbuah sehingga kini sebagai rezeki di penghujung musim walaupun buahnya tidak banyak seperti ketika musim durian luruh beberapa bulan lalu.
Walaupun buahnya tidak banyak, seorang peniaga di pekan Kampung Gajah di sini Firdaus Isa, 24, tidak menjual raja buah itu pada harga yang tinggi sebaliknya hanya RM5 sekilogram.
Menurutnya, dia memilih jualan secara timbang berbanding jualan longgok bagi memastikan pelanggan mendapat durian yang berkualiti.
“Kalau ikutkan musim luruh durian di sini sudah berakhir beberapa bulan lalu, ketika itu kawasan Kampung Gajah dan Pasir Salak memang banyak durian.
“Namun saya tak sangka sehingga kini masih ada pokok yang mengeluarkan buah di hujung musim, bagi saya ini rezeki dan dalam masa yang sama penggemar raja buah ini masih boleh mendapatkan durian pada harga yang rendah.
“Saya tidak menjual pada harga yang tinggi kerana saya berpegang pada pesanan arwah datuk saya kalau menjual durian jangan terlalu memikirkan untung besar sahaja, kalau boleh dalam masa yang sama bersedekah ketika jualan.
“Maksudnya jangan jual terlalu mahal dan kalau ada yang membeli banyak seperti sampai lima kilogram, berilah tambahan sebiji dua sebagai sedekah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, sejak dahulu durian Kampung Gajah digemari ramai kerana keenakkannya selain baunya lebih wangi berbanding durian jenis lain. – UTUSAN











