BAGAN SERAI: Dua lelaki warga emas Indonesia yang berbasikal ke Mekah dari negara mereka mulai 1 Disember lalu dan kini sudah sampai di utara Perak di Bagan Serai.
Soeprijadi Soedirman Saud, 65, dan Syariffuddin Abdul Hamid, 64, berhasrat untuk berpuasa di Mekah serta menunaikan umrah dan jika bersempatan, mereka juga berhasrat melaksanakan haji.
Soeprijadi mula berkayuh sendirian pada 1 Disember lalu dari Desa Kota Bumi Serbong Damai, Tangerang Selatan, Jakarta Barat, kemudian bertemu dengan Syariffuddin di Jambi dan bermula dari situ, mereka berkayuh bersama-sama dan mula memasuki negara ini dari Johor pada 31 Disember lalu.
Mereka merancang untuk berkayuh sehingga ke Bangkok, Thailand dan apabila tiba di sana nanti, mereka akan membuat keputusan sama ada untuk menaiki penerbangan ke India atau terus menuju Qatar.
Menurut Soeprijadi, dua tahun lalu dia berjaya sampai ke Mekah dengan menaiki basikal bersama seorang kawannya yang lain.
“Pada masa itu saya sempat melakukan umrah dan menunaikan haji. Kali ini tujuan saya ialah untuk berpuasa di Mekah dan melakukan umrah. Jika sempat saya akan melakukan haji,” katanya ketika berhenti rehat di sebuah kedai makan di Parit Gabis di sini semalam.
Sementara itu, Syariffuddin yang berasal dari Jambi berharap perjalanan mereka dipermudahkan dan sampai ke Mekah sebelum Ramadan kerana mahu beribadat dan merasai pengalaman berpuasa di sana.
“Setakat ini perjalanan lancar, hanya sekali sahaja basikal saya mengalami tiub tayar bocor ketika tiba di kawasan Kuala Kangsar. Ini tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan yang disinggahi dua rakyat Indonesia itu Muhamad Nazri Mohd Yaacob, 29, tidak menyangka dua lelaki itu yang sering dilihat dalam media sosial singgah di kedainya.
Katanya, jika melihat fizikal dan usia mereka, ramai yang tidak akan menyangka mereka mampu berkayuh hingga ke Mekah.
“Mereka boleh dijadikan inspirasi oleh golongan muda supaya memiliki semangat juang yang tinggi bagi mencapai cita-cita,” katanya.-UTUSAN










