Dua lelaki warga asing ditahan kerana mengedar dadah

Dua lelaki warga asing ditahan kerana mengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki warga asing masing-masing rakyat Indonesia dan Bangladesh ditahan polis Jumaat lalu selepas dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah di Nusa Bestari, di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek berusia 39 dan 43 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM373,664.30.

“Siasatan awal dibuat mendapati lelaki warga Indonesia merupakan ‘runner’, manakala lelaki Bangladesh merupakan salah seorang pekerja.

“Kita juga percaya pasaran sindiket dadah ini adalah dalam kalangan warganegara asing yang bekerja di sekitar bandar raya ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Tambah Kumarasan, pihaknya masih menyiasat penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan termasuk dalangnya.

“Antara dadah dirampas termasuklah 2,101.1 gram (g) serbuk ekstasi; 115.5g ganja; 595.21g syabu; 2.2g heroin dan 3g pil Eramin 5 yang jika kekal di pasaran, ia boleh digunakan seramai lebih 1,500 penagih.

“Ujian urin dibuat mendapat kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kumarasan turut memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 31 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” jelasnya sambil meminta kerjasama awam menerusi talian 07-5113622 atau 07-5114486. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN