PETALING JAYA: Seorang pembantu pasar malam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri 297 karton susu kotak dianggarkan bernilai RM22,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Hamim Heji, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zaina.
Menurut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas, didapati mencuri 261 karton Susu UHT Coklat dan 36 karton Susu UHT Full Cream kesemuanya jenama Dutch Lady.
Kesemua susu kotak itu bernilai lebih kurang RM22,000.
Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 22 Julai 2023 di Dutch Lady Milk Industries Berhad, Jalan Prof Khoo Kay Kim, di sini.
Hamim dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Peguam bela, Soosai Raj, yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara satu hari dan denda minimum dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh.
Katanya, tertuduh hanya pembantu di pasar malam dan meraih pendapatan RM600 sebulan dan mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran, selain perlu mengambil kira kerugian yang ditanggung oleh kilang tersebut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dua bulan penjara bermula hari ini. – UTUSAN