Anggota penguat kuasa JPJ guna kamera badan tahun ini

Anggota penguat kuasa JPJ guna kamera badan tahun ini

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka menggunakan peranti kamera badan bermula tahun ini untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan khu­susnya me­libatkan kende­raan berat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penggunaan peranti berkenaan juga bertujuan melindungi anggota ketika mereka melakukan penugasan di lapangan.

“Saya telah pun meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk berunding dan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) supaya dapat peruntukan segera peranti kamera badan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dan saya harap anggota-anggota JPJ dalam tahun ini juga akan dilengkapi dengan peranti tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini semalam.

Pada 23 November lalu, media melaporkan penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa JPJ sangat diperlukan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Mengulas lanjut, Loke berkata, menerusi penggunaan peranti berkenaan, segala bukti ketika menjalankan pemeriksaan mahu pun operasi dapat direkodkan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang.

“Kadang kala anggota-anggota kita juga dicemuh, dihina dan dituduh macam-macam, jadi dengan adanya peranti kamera badan, anggota JPJ dapat dilindungi.

“Justeru, apa sahaja bukti semasa mereka menguatkuasakan undang-undang dapat dirakamkan melalui peranti tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Loka berkata, sistem ‘High Speed-Weigh in Motion’ (HS-WIM) yang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan pembangunan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, pemasangan sistem tersebut akan diperbanyakkan di lokasi-lokasi panas seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik tinggi.

Katanya, sebanyak 10 lokasi di seluruh negara dikenal pasti bagi pemasangan sistem tersebut.

Kata beliau, sistem HS-WIM merupakan pendekatan baharu untuk memantau pergerakan kenderaan berat yang melebihi had muatan.

Jelasnya, teknologi tersebut menggunakan kamera dan pengesan (sensor) bagi mengenal pasti kenderaan berat yang melalui satu-satu kawasan.

“HS-WIM menggunakan tek­nologi yang menggunakan kamera, mereka (kenderaan berat) lalu sahaja di satu-satu kawasan itu yang ada pengesan, kita akan tahu sama ada ken­deraan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakam kamera.

“Jadi kita akan tahu kende­raan berat itu lalu di sana pukul berapa (atau) berat muatannya berapa. Kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kende­raan tersebut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini