Ambil khidmat pengiring  di Pakistan demi keselamatan

Ambil khidmat pengiring  di Pakistan demi keselamatan

MOHAMAD Azizul Abdullah (kiri) dan Mohamad Al -Bukhari Ellia yang dalam misi berjalan kaki ke Mekah kini berada di Pakistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Dua rakyat Malaysia yang berjalan kaki ke Mekah terpaksa menggunakan khidmat pengiring sepanjang mereka berada di Pakistan.

Mohamad Al-Bukhari Ellia, 27, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, berkata, pihak berkuasa negara itu mengenakan syarat itu kerana faktor keselamatan.

Menurutnya, mereka mengupah tiga pengiring yang menaiki kenderaan dan mengekori perjalanan mereka sejak dari pintu masuk negara itu iaitu dari Lahore hingga ke Karachi. 

Mereka bagaimanapun enggan mendedahkan bayaran yang dikenakan terhadap pengiring tersebut.

“Memang menjadi syarat untuk kami mempunyai pengiring sepanjang berjalan kaki di Pakistan, ini ditetapkan oleh pihak berkuasa negara itu atas faktor keselamatan.

“Mereka tidak bersama-sama berjalan kaki dengan kami sebaliknya hanya menaiki kenderaan dan mengekori kami di sepanjang perjalanan.

“Kehadiran mereka membuatkan kami rasa lebih selamat. Buat masa ini kami menuju ke Karachi dan perjalanan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, mereka juga menempah sebuah troli bagi membawa barangan keperluan sebaik sahaja memasuki Pakistan memandangkan troli yang mereka gunakan sepanjang perjalanan di India, tidak dibenarkan dibawa masuk ke Pakistan.

“Ini disebabkan pintu untuk memasuki sempadan di Pakistan  sangat sempit dan perlu melalui ruang pejabat imigresen. Troli yang kami bawa tidak muat untuk melepasi lorong pintu masuk Imigresen di sempadan Pakistan.

“Selain itu, hubungan politik antara India dan Pakistan yang kurang baik turut menyebabkan barangan yang kami beli di India tidak dibenarkan dibawa masuk ke Pakistan,” kata mereka.

Sementara itu, mereka belum memutuskan sama ada akan memasuki Iran atau terus ke Qatar selepas mengakhiri perjalanan di Pakistan.

“Kami difahamkan ada berlaku letupan bom di Iran. Ini sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan. Kami belum pasti akan memasuki Iran atau terus ke Qatar, tengok keadaan dahulu sebelum kami membuat keputusan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN