GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini, kembali dihantui ketakutan selepas penempatan mereka diserang gajah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kumpulan gajah tersebut mencabut dan mengopak dinding rumah buluh serta merosakkan barangan milik penduduk.
Seorang penduduk, Rama Ajom, 45, berkata, percaya gajah yang merosakkan rumahnya itu keluar dari habitatnya untuk mencari makanan.
“Saya yakin itu adalah gajah sama yang sedang kelaparan mencari makanan sehingga meruntuhkan dinding rumah buluh yang dibina di kawasan kebun.
“Ketika kejadian kami tidak berada di rumah buluh kerana bimbang dengan keselamatan nyawa ahli keluarga. Firasat kami benar apabila gajah itu kembali muncul memusnahkan serta menyelongkar barangan yang diletak dalam rumah buluh,” katanya.
Seorang lagi penduduk Orang Asli, Sarudin Johari, 31, berkata, mereka menyedari kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi ketika mahu ke kebun.
Katanya, setiap hari sejak Ahad lalu penduduk tidak lena tidur selepas gajah liar berkenaan naik minyak merosakkan rumah buluh dan tanaman di kebun.
“Kemunculan gajah liar yang bertindak merosakkan rumah buluh dan hasil tanaman telah menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan keluarga Orang Asli.
“Saya berharap pihak berwajib terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) datang membantu menyelesaikan masalah yang dialami sebelum nyawa penduduk terkorban,” ujarnya. – UTUSAN











