832,006 IP lucah kanak-kanak dikesan

832,006 IP lucah kanak-kanak dikesan

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesan 832,006 alamat protokol internet (IP) berdaftar di Malaysia disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Internet sejak lima tahun lalu.

Kesemua alamat IP itu diteri­ma Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) yang dikesan daripada sistem perkongsian maklumat dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploi­ted Children.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jum­lah itu membabitkan sebanyak 8,068 alamat IP pada tahun 2019; 105,629 (2020); 215,407 (2021); 139,755 (2022), 147,154(2023) dan 215,993 (2024).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 257,966 alamat IP yang dimuat turun dari salah satu sistem perkongsian maklumat ini yang membantu polis mengenal pasti pembekal lucah dengan menjejaki alamat IP, lokasi dan aktiviti dalam talian.

“Daripada jumlah itu, hanya 395 alamat IP diperiksa mengikut prioriti yang membawa kepada 179 tangkapan Op Pedo dari 2019 hingga tahun lalu.

“Berdasarkan maklumat di­terima Bahagian D11 berhubung pemilik alamat IP, pemilik aka­un media sosial dan mana-mana aktiviti dalam talian yang membuat perkongsian atau capaian kepada bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM), ia menunjukkan jumlah maklumat yang banyak dan meningkat setiap tahun.

“Trend ini satu petunjuk yang harus diberi perhatian serius oleh banyak pihak kerana selagi ada permintaan terhadap bahan CSAM ini bermakna semakin ramai yang mengambil kesempatan untuk menghasilkan gambar dan video lucah dan sekaligus lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa pengania­yaan seksual di seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tegasnya, isu ini memang membimbangkan kerana ke­tak­suban kepada bahan CSAM ini membawa kepada ketagihan por­nografi kanak-kanak dan akhirnya mendorong kepada jenayah seksual secara fizikal yang lain seperti rogol, amang seksual, sumbang mahram dan aktiviti seks bebas dalam kala­ngan kanak-kanak dan remaja.

Jelas beliau, ia akan menyum­bang kepada aktiviti jenayah lain seperti pembuangan bayi, pemerasan seksual, gejala sosial lain yang serius seperti tinggal bersekedudukan sehingga me­lahirkan anak dan lain-lain.

“Kebanyakan memberi alasan tidak mengetahui ianya me­rupakan kesalahan jenayah.

“Jenayah berkaitan bahan peng­aniayaan seksual kanak-kanak ini adalah isu global dan ditentang hebat oleh masyarakat dunia termasuk Malaysia.

“Ini kerana selagi ada yang berkongsi, memiliki dan melihat bahan penganiayaan terhadap kanak-kanak, selagi itu akan pihak yang tidak berperikemanusiaan yang mengeksploitasi dan menganiaya kanak-kanak untuk memenuhi permintaan dan kepentingan mereka,” kata­nya.

Menurutnya, PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi secara agresif akan menjejaki individu dan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penganiayaan terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Masyarakat diingatkan untuk tidak membuat sebarang perkongsian atau menganggap remeh perkara berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak. Hukuman bagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan CSAM ini adalah serius iaitu hukuman pemenjaraan antara lima ke 30 tahun berserta sebatan atau denda,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar menambah pengetahuan dalam aspek pemantauan aktiviti dalam talian anak-anak kerana bahan-bahan berunsur seksual dan negatif yang lain begitu meluas dan senang dicapai secara dalam talian.

“Apa yang penting ialah anak-anak perlu dididik dan ditanam dengan nilai-nilai spiritual, akhlak dan moral yang tinggi agar mereka mempunyai tahap kawalan kendiri yang teguh dalam menilai buruk dan baik tindakan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×