JOHOR BAHRU: Pelbagai telatah dan kerenah kanak-kanak yang mencuit hati dapat dilihat ketika berlangsungnya majlis Berkhatan Perdana yang diadakan di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, Masai di sini.
Ada yang menjerit, meraung, menangis dan ada yang ketawa menahan sakit, tidak kurang pula ada kanak-kanak yang mengaji dan membaca ayat suci al-Quran sepanjang proses sunat dilakukan.
Itu adalah proses yang perlu dilalui oleh setiap kanak-kanak yang menginjak dewasa sebagai tuntutan dalam agama Islam.
Bagi Ammar Syahmi Syazman, 9, pada mulanya dia berasa takut sedikit.
“Mula-mula ada rasa takut dan berdebar, tapi bila ramai rakan-rakan sebaya yang sama-sama bersunat hilang rasa takut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Begitu juga bagi Muhammad Aisy Iman Rosmannizam 9, dari Taman Rinting, semangatnya untuk bersunat amat membara apatah lagi ramai rakan sekolahnya yang sudah berkhatan.
Berlainan pula dengan Muhammad Zafran Mohamad Zainuri 11 dari Taman Scientex, Pasir Gudang, dia teruja untuk bersunat sebab sudah banyak kali meminta dikhatankan.
“Dah banyak kali cakap dengan emak hendak sunat, akhirnya dapat juga bersunat, rasa sangat seronok.
“Sakit sikit saja masa doktor suntik, tapi lepas tu sudah tak rasa sakit,” katanya yang sentiasa ketawa sepanjang proses khatan dilakukan.
Sementara itu Penyelaras Khatan Perdana Merangkap Pengerusi Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana Khairulnizam Mahpob berkata, ini adalah kali pertama surau mengadakan majlis khatan beramai-ramai.
Katanya, seramai 42 orang kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun menyertai program bermula pukul 9 pagi itu. – UTUSAN










