JERANTUT: Sejak tahun 1800 lagi, perahu penambang atau sinonim dengan panggilan perahu tembeling ini setia berkhidmat sebagai pengangkutan air utama untuk mengangkut barangan dan penumpang.
Seiring perubahan zaman, evolusi berlaku daripada segi rupa bentuknya, namun tidak seinci pun menjejaskan fungsinya sebagai nadi utama bagi masyarakat menyusur sungai Tembeling.
Arus pemodenan di negara ini tidak menghalang manusia mengekalkan perkhidmatan pengangkutan bersifat tradisional iaitu berasaskan pengangkutan air.
Sejak tahun 1800 lagi, perkhidmatan perahu penambang terus berevolusi dan kekal digunakan sehingga kini sebagai pengangkutan air utama di Ulu Tembeling di sini untuk membawa penumpang dan barangan.
Perkhidmatan perahu penambang ini, masih menjadi nadi pengangkutan di Ulu Tembeling bagi memenuhi keperluan penduduk seperti menangkap ikan, membawa hasil tanaman dan haiwan ternakan untuk dijual serta membawa penumpang ke Taman Negara Kuala Tahan.
Perahu penambang atau sinonim dengan panggilan perahu tembeling, mempunyai nilai komersial apabila ia menjadi sumber pendapatan utama penduduk di sini yang bukan sahaja bekerja sebagai pemandu bot dan pelancong, sebaliknya sebagai pembuat perahu.
Penduduk yang juga Imam Masjid Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Mi Hamidi Nipah, 54, berkata, daripada segi sejarah, perahu tembeling mula digunakan penduduk pesisir Sungai Tembeling sejak sebelum merdeka sekitar 1800.
“Berasaskan cerita mulut orang-orang tua, saudagar dari Sumatera pernah mudik untuk berdagang dan mengembangkan agama Islam ke Ulu Tembeling menggunakan perahu jalur.
“Sebilangan pedagang ini berkahwin dan menetap di beberapa buah kampung Ulu Tembeling terus mewarisi pembuatan perahu kepada penduduk tempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
MAT KILAU NAIK PERAHU
Menurut Mi Hamidi, pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan pengikutnya, menggunakan perahu untuk mudik ke ulu, sewaktu dikejar soldadu British melalui laluan Sungai Tembeling dan Sungai Sepia, lalu membawa diri ke Terengganu dan Kelantan.
“Keistimewaan ketara perahu tembeling adalah daripada segi ketahanan iaitu ia tidak mudah terbalik dan memiliki keseimbangan di permukaan air walaupun ketika muatan berat, malah lebih lancar dan selamat ketika melalui kawasan jeram dan banjir, berikutan kepakaran tukang dalam penghasilannya,” katanya.

Menurutnya, penggunaan perahu tembeling secara meluas sebagai pengangkutan Sungai Tembeling dan enjin dipasang membolehkan ia lebih sinonim sebagai bot penambang yang memberikan perkhidmatan membawa penumpang, pelancong dan hasil kampung ke Kuala Tembeling sebelum dan selepas merdeka.
80 TAHUN BAWA PERAHU
Pembawa perahu penambang, Husin Sulaiman, setia membawa perahu tembeling setiap hari walaupun sudah berusia 80 tahun.
Kudrat warga emas itu dilihat masih gagah dan bertenaga menarik perahu berkenaan yang disifatkannya masih penting dan relevan kepada masyarakat khususnya kepada penduduk yang tinggal di kawasan Ulu Tembeling.

“Saya bawa perahu pada 1984 dan kekal sehingga kini sebagai sumber pendapatan utama keluarga termasuk membesarkan 12 anak.
“Saya antara pembawa bot orang lama yang kekal di sini. Dulu hendak buat bot kosnya hanya RM300 sahaja, tetapi kini kosnya berganda-ganda lebih RM10,000.
“Saya tak ada masalah, hendak pergi ke kawasan mana sekalipun saya boleh bawa, selagi masih gagah dan diberikan kesihatan, saya akan terus bawa perahu,” katanya.
PERMINTAAN TINGGI
Pengusaha Perahu Tembeling di Kampung Pagi, Zainuddin Nong, 58, membuat perahu secara kecil-kecilan di bengkel berdekatan rumahnya yang terletak berdekatan Sungai Tembeling.
Katanya, meskipun tenaga semakin terhad berikutan faktor usia, permintaan tinggi dalam kalangan penduduk Ulu Tembeling dan pengusaha pelancongan Taman Negara untuk memiliki perahu merangsangnya terus melaksanakan kerja berkenaan.
“Saya terpaksa melakukan kerja ini kerana ada permintaan untuk menggunakan perahu apabila ramai pelancong mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan termasuk penduduk di sini yang bekerja sebagai nelayan sungai dan mengangkut hasil kampung ke Kuala Tahan.
“Orang muda hari ini pun sudah tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja sebegini,” katanya.
Zainuddin berkata, kerja membuat perahu tidak mudah lantaran terpaksa masuk ke dalam hutan menggunakan permit pihak berkuasa dalam mencari kayu jenis meranti untuk dijadikan lunas yang dipasang pada bahagian bawah perut perahu.
Selain meranti, kayu jenis merawan juga sesuai dijadikan lunas perahu kerana ringan dan tahan lama walaupun terkena air dan bergesel dengan batu jeram ketika di permukaan sungai.
Dia dibantu tiga ahli keluarganya, menjalankan perusahaan itu sejak lima tahun lalu berkata, kayu dipotong cermat sebelum dilicinkan untuk dijadikan papan setebal dua hingga tiga sentimeter untuk dibuat dinding perahu.
“Setelah siap memaku dinding, proses seterusnya ialah menampal lubang di celah dinding dan lunas dengan menggunakan bahan pelekat (gegala) yang dibeli atau diperbuat daripada getah pokok damar yang juga diperoleh daripada hutan.
“Jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah perahu, boleh memakan masa sebulan termasuk memasang bumbung aluminium dan kemudian diletakkan enjin,” katanya.
Badan perahu perlu disapu minyak hitam supaya lebih tahan ketika berendam dalam air dan jika perlu, dicat supaya kelihatan menarik atau bergantung kepada kreativiti pemiliknya.
“Saya membuat perahu bersaiz panjang 35 kaki dan lebar empat kaki, muatan seramai enam hingga tujuh orang dewasa, dijual pada harga RM10,000 bergantung saiz dan mutu pembuatan termasuk jenis kayu digunakan,” katanya.
Sekiranya pelanggan mahu perahu lebih besar dengan muatan antara 15 hingga 20 orang penumpang, harganya lebih tinggi termasuk kemudahan dipasang bumbung dan perahu ini biasanya dipasang enjin untuk dijadikan bot penambang.
Proses terakhir, katanya, menurunkan perahu yang siap dari bengkel ke dalam sungai bagi mengesan sama ada lunas dan dinding bocor dan menentukan perimbangan badan perahu itu semasa di permukaan air termasuk melalui kawasan jeram sungai.
KRAF PEMBUATAN PERAHU
Sementara itu, pengusaha kraf tangan, Mohd. Sahfran Suran, 46, mewarisi kemahiran membuat kraf tangan perahu tembeling daripada orang-orang tua sebelum ini.
Dia yang tinggal di Taman Gemilang, bandar Jerantut berkata, kemahiran pembuatan perahu, bukan sahaja dapat mengangkat kembali warisan masyarakat Melayu lama, tetapi turut memperoleh pendapatan lumayan apabila kraf tangan berbentuk replika yang kini dikenali sebagai ‘Perahu Tembeling’ dijadikan sebagai bahan komersial.
“Saya jatuh cinta dalam membuat replika Perahu Tembeling selepas mempelajari kemahiran ini daripada arwah bapa, Suran Jaafar yang tahu selok-belok berkenaan perahu ini dan menggalakkan saya membuat bahan kraf ini untuk tujuan komersial.
“Saya mengambil masa tiga hari menyiapkan sebuah replika bot kajang (Perahu Tembeling) yang tidak berbumbung, manakala yang berbumbung mampu disiapkan selama enam hari bergantung kepada permintaan pelanggan. Tugas membuat ini perlu berdisiplin di dalam sebuah bilik khas di rumah,” katanya.

Harga replika bot bergantung kepada saiz dan kreativiti khususnya dalam memenuhi kehendak pelanggan dengan yang tidak berbumbung berharga antara RM450 hingga RM600, manakala replika bot berbumbung siap hiasan cat dan varnis melebihi RM600 serta kadang-kadang mencecah RM1,500 sebuah termasuk penutup (casing).
“Saya membuat replika sampan tanpa berbumbung dan penutup yang dijual antara RM350 hingga RM450,” katanya.
Replika Perahu Tembeling biasanya dibeli pelanggan untuk dijadikan cenderamata dan hiasan, malah banyak pejabat kerajaan di Pahang, rumah, restoran besar termasuk kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan di Putrajaya menjadikannya sebagai hiasan dalam mengisi ruang almari kaca.
TERUJA NAIK PERAHU
Pelancong, Niels Maters, 33, dari Belanda dan pasangannya, Maree Gandia, 34, dari Filipina, teruja pertama kali berkunjung ke Ulu Tembeling dan merasai pengalaman menaiki perahu tembeling.
“Mula-mula rasa takut, tetapi lama-kelamaan seronok dan teruja pula bila dapat melihat keindahan alam sekitar di kiri kanan di Sungai Tembeling.
“Keunikan pengangkutan sungai ini di tambah dengan kepelbagaian budaya penduduk pedalaman Ulu Tembeling merupakan aset bagi tarikan pelancong untuk datang ke sini,” ujarnya. – UTUSAN








