Warga emas PPR Desa Rejang diserang strok, sengsara lif rosak

Warga emas PPR Desa Rejang alami strok, perniagaan terjejas akibat lif rosak

ROHAYA Ali terpaksa menggunakan tangga ekoran lif Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang tidak dapat berfungsi.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang meluahkan rasa kecewa berikutan kerosakan lif yang berlarutan lebih dua minggu tanpa sebarang penyelesaian segera.

Masalah tersebut telah menjejaskan kehidupan harian penduduk terutama warga emas, individu kurang upaya (OKU) serta keluarga yang mempunyai anak kecil.

Seorang penduduk, Rohaya Ali, 63, mendakwa dia mengalami strok akibat terlalu penat dan tertekan apabila ketiga-tiga lif yang ditempatkan di Blok D berkenaan tidak dapat berfungsi.

“Saya tinggal di tingkat tujuh dan terpaksa turun lebih awal iaitu pukul 3 pagi untuk menyiapkan barang berniaga. Saya terpaksa turun dan naik berulang kali untuk membawa barang.

“Pada hari kedua lif ini rosak, kaki saya rasa sangat sakit dan meminta rakan untuk mengurut. Tetapi masih tidak pulih dan menjadi semakin lemah sehingga beberapa anggota badan saya sukar untuk digerakkan. 

“Jadi saya kuatkan diri pergi ke hospital untuk mengetahui puncanya dan saya diberitahu doktor telah mengalami strok pada sebelah badan,” katanya. 

Rohaya berkata, disebabkan kerosakan lif itu, perniagaannya turut terjejas kerana terpaksa mengurangkan barang jualan kerana tidak lagi mampu untuk berulang alik menaiki tangga.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Khairudin Jako, 60, berkata, dia terpaksa mengambil masa kira-kira empat jam untuk turun kerana rumahnya berada di tingkat 14. 

“Saya ada banyak penyakit kronik seperti jantung, batu karang dan paru-paru berair. Jadi, disebabkan itu saya mengambil masa yang sangat lama untuk turun atau naik kerana berhenti di setiap tingkat antara 30 hingga 45 minit untuk berehat. 

“Sejak lif ini rosak, saya tidak pernah keluar rumah. Saya hanya akan keluar sekiranya ada hal penting yang tidak dapat dielakkan. Baru hari ini saya turun untuk memberikan sokongan kepada penduduk Blok D,” jelasnya. 

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohamad Dasuki Zulkiflee, 36, berkata, dia turut mengalami masalah serupa kerana menetap di tingkat paling atas di blok berkenaan serta isterinya pula mengalami penyakit asma yang kronik. 

Katanya, kehidupan dia dan keluarga terganggu sejak lif rosak.

“Saya mempunyai tiga orang anak. Hari-hari saya turun daripada tingkat 18 dengan mengendong bayi, bawa beg serta dua anak lagi untuk ke sekolah. 

“Saya pulang lewat ke rumah kira-kira jam 11 malam, tapi anak-anak yang pulang bersama isteri terpaksa tunggu sehingga saya pulang kerana isteri tidak mampu membawa mereka naik ke rumah kerana penyakit asma yang teruk” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×