SEREMBAN: UMNO tidak pernah menghalang ahli dan pemimpinnya yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malahan berkata, tindakan pemimpin keluar dan masuk ke dalam parti itu juga bukanlah kali pertama berlaku.
“Itu terpulang kepada tuan punya diri, kalau dia merasakan UMNO tidak lagi mempunyai tempat buatnya, terpulang kepada dia.
“Ia perkara biasa, pergi dan masuk, terpulang kepada tuan punya diri jika merasakan UMNO bukan lagi tempat untuk meningkatkan kerjaya, terpulang kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan eSports Piala Tok Mat di Senawang di sini semalam.
Mengulas isu membabitkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaporkan akan menyertai PKR, Mohamad bagaimanapun berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini perlu mempunyai unwritten understanding berhubung perkara itu terutama untuk menjaga keharmonian dalam kerajaan.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu baru-baru ini memaklumkan, beliau belum membuat keputusan berhubung keahliannya dalam mana-mana parti walaupun pernah mengadakan perbincangan dengan PKR.
Perbincangan itu turut diakui oleh Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menyatakan PKR mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana pemimpin untuk menyertai parti itu.
Mohamad berkata, isu itu merupakan perkara yang sensiitf dan sensitiviti antara parti itu perlu dijaga, jika tidak nanti akan meretakkan hubungan baik yang telah sedia ada. – UTUSAN










