PETALING JAYA: UMNO perlu memperkukuh naratif progresif dan memanfaatkan pengalaman kepimpinannya dalam menarik sokongan pengundi untuk terus relevan bagi memastikan kestabilan politik negara.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, UMNO kini berhadapan cabaran menarik sokongan bukan sahaja daripada ahli tetapi juga pengundi.
Katanya, semakin ramai pengundi kini yang memilih untuk tidak berpihak kepada sebarang parti, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“UMNO perlu menyerlahkan semula perjuangan memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera serta meneruskan tradisi politik yang pernah menjadikan parti itu dikenali dan dihormati.
“Naratif Melayu Islam yang progresif juga perlu diketengahkan bagi menandingi pandangan Islam yang kini dilihat lebih sempit dan kurang inklusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan UMNO tidak pernah menghalang ahli dan pemimpinnya yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu dan tindakan pemimpin keluar masuk bukanlah kali pertama berlaku.
Mengulas lanjut, Awang berkata, UMNO perlu memanfaatkan kepakaran dan kredibiliti pemimpin mereka yang berpengalaman untuk menjamin kestabilan politik.
“Kejayaan kementerian-kementerian kini yang dipimpin oleh UMNO membuktikan kebolehan parti ini memikul tanggungjawab besar dan membawa hasil positif kepada negara,” katanya..
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Marwan Ismail berkata, UMNO dikira bernasib baik berada dalam Kerajaan Perpaduan, namun risiko kehilangan arah tetap membayangi parti tersebut.
Katanya, sebuah reformasi asas diperlukan dalam UMNO termasuk perubahan kepimpinan dan pemulihan semula keahlian dengan menarik ahli muda.
“Perhimpunan Agung UMNO khas perlu dijalankan untuk membincangkan visi dan misi baharu yang lebih relevan bagi menyesuaikan parti dengan realiti politik dan teknologi semasa seperti AI.
“Perpecahan dalaman dan sikap pemimpin yang enggan keluar dari zon selesa dianggap menjadi penghalang utama kepada usaha memperkukuhkan UMNO,” katanya. – UTUSAN










