SEREMBAN: Anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu semalam.
Pemasyhuran itu disempurnakan Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-22 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai.
Turut berangkat menyaksikan pemasyhuran tersebut ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Turut dilantik sebagai Pro-Canselor USIM yang baharu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Tuanku Aishah Rohani bertitah dalam istiadat berkenaan, berharap graduan USIM mengintegrasikan ilmu agama dan sains agar memberi keseimbangan dalam menyelesaikan masalah dan membina kehidupan lebih sejahtera.
“Dalam dunia penuh cabaran, adalah penting menghayati setiap isu dengan berfikir secara saintifik dan berlandaskan tauhid untuk mengimbangi setiap keputusan dalam menyelesaikan konflik dan permasalahan.
“Sama ada kamu pemimpin dalam organisasi, komuniti ataupun keluarga, beta berharap kamu terus bersemangat dan berpendirian teguh dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
“Beta yakin dengan ilmu yang sudah dipelajari, segala pengetahuan, kemahiran dan nilai akan menjadi bekalan kamu untuk menjadi seorang yang lebih matang dalam kelakuan dan pemikiran,” titah baginda.
Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.
Tuanku Aishah Rohani bertitah, baginda berbangga apabila USIM sentiasa berusaha menaikkan nama sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.
“Beta berbangga apabila dimaklumkan bahawa kerjasama antara staf akademik, pentadbiran dan para pelajar USIM telah mengharumkan nama universiti ini dalam pelbagai bidang.
“Antaranya penganjuran Simposium Antarabangsa Malaysia Madani mengumpulkan para pemimpin Islam dalam pelbagai bidang serta Konvokesyen Khas Syeikhul Azhar.
“Penjenamaan USIM lebih bermakna apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa USIM menjadi Pusat Latihan Bahasa Arab kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir,” titah baginda.
Baginda bertitah, tema konvokesyen USIM pada tahun ini iaitu ‘Menerajui Integrasi Ilmu’ merupakan satu menifestasi USIM untuk melahirkan para pemimpin memartabatkan nilai dan tradisi agama Islam.
“Graduan USIM pada hari ini adalah perintis kemajuan agama, masyarakat dan negara kerana kamu adalah bakal pemimpin yang akan meneruskan tradisi kecemerlangan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju,” titah baginda.
Baginda turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emeritus serta anugerah-anugerah kecemerlangan akademik termasuklah kepada Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Dr. Ismail Ibrahim yang menerima Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Pengajian Bahasa Arab.
Turut dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.
Seramai 3,079 graduan daripada 73 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen USIM kali ke-22 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 6 Disember ini.-UTUSAN