KUALA KRAI: Walaupun sedekad bah kuning yang melanda jajahan ini berlaku, majoriti penduduknya masih trauma dengan bencana luar biasa itu sehingga ada dalam kalangan mereka memilih tidak membeli perkakasan rumah seperti sofa dan televisyen.
Seorang penduduk Kampung Manjor, Jamal Rahmat Mohammad, 47, berkata, sejak kejadian itu, dia hanya membeli barangan perlu sahaja untuk diletakan di dalam rumah bagi mengelakkan terus berdepan kerugian besar akibat banjir.
“Saya sudah tidak sanggup menanggung kerugian saban tahun. Jadi lebih baik membeli barangan yang perlu sahaja dan tugas mengemas menjadi lebih mudah.
“Pengalaman 2014 sangat perit untuk dilalui, walaupun semua barangan disimpan di tempat tinggi, namun ia tetap tenggelam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jabal Rahmat berkata, setiap kali banjir melanda, dia dan keluarga membawa barangan penting jika diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, sebaik sahaja air sungai melimpah, dia memindahkan kereta ke tempat selamat.
Sementara itu, penduduk dari Kampung Chenulang, Fauziah Mohamad, 50, memberitahu, dia sudah membuat persiapan awal untuk menghadapi banjir termasuk gelombang kedua dan seterusnya.
Katanya, setiap kali musim bah, rumahnya dinaiki air ekoran limpahan air sungai berhampiran dan setiap tahun dia bersiap sedia dengan menyimpan kelengkapan rumah ke tempat yang lebih tinggi.
“Saya baru sahaja selesai membersihkan rumah serta barangan dapur yang ditenggelami air akibat banjir minggu lepas, namun terpaksa berhadapan kemungkinan banjir sekali lagi.
“Walaupun penat, saya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak kerosakan yang lebih teruk dan tidak sanggup melihat keadaan rumah yang disaluti lumpur,” ujarnya.
Sebelum itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kira-kira 30 kampung di sekitar Kuala Krai, Kelantan akan mengalami banjir bermula esok sehingga Jumaat.
Menerusi satu kenyataan, JPS berkata, kampung yang terlibat adalah berada dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi.
Jelasnya, jangkaan tersebut susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis lalu.
Kawasan sekitar Sungai Galas kampung yang terlibat adalah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.
Di Sungai Lebir pula, ia membabitkan Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.
Turut terlibat, Kampung Manjor, Kampung Mesek, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam.-UTUSAN MALAYSIA











