KUALA LUMPUR: “Hanya kerana media sosial itu wujud, tidak bermakna artis mampu jual tiket.”
Demikian kata kumpulan Ruffedge yang mengulas mengenai sikap sesetengah penganjur yang menyalahkan penyanyi kerana tiket konsert tidak terjual.
Menurut Azan, mereka pernah berhadapan dengan situasi tersebut bahkan tidak bersetuju apabila penganjur terbabit melepaskan tanggunjawab mereka dengan mengerah penyanyi membuat pemasaran sendiri.
“Perkara ini sudah beberapa kali berlaku kepada kami di mana mereka datang kononnya mahu anjurkan konsert di luar negara. Namun, penganjur terbabit tidak adakan sidang media pun di sana, apatah lagi menerusi saluran pengiklanan.
“Lebih mengecewakan, bila kami tiba di negara tersebut, peminat pun tidak tahu Ruffedge nak datang. Sekiranya mereka salahkan artis, kena ingat artis itulah produk mereka. Agak peliklah salahkan produk sendiri kerana mereka sendiri cari, suka, dan bila tidak terjual, salahkan produk pula.
“Bukan semua artis mempunyai pengikut yang mampu membeli tiket. Sepatutnya penganjur harus kerja keras lagi. Artis tetap akan terus berkarya walaupun tiket konsert tersebut tidak habis terjual,” katanya.
Azan berkongsi perkara itu ketika ditemui bersama Mode pada sidang media Gamon Musialc Fantasia, di sini, semalam.
Mengulas mengenai kewujudan media sosial, Azan berpendapat penganjur perlu meluaskan lagi kaedah pemasaran meskipun platform tersebut medium yang paling pantas untuk mempromosikan sesuatu produk.
“Kalau dulu, penganjur buat promosi menerusi papan iklan besar, televisyen (TV) dan di merata-rata tempat supaya orang tahu. Mereka tak ada media sosial pun. Bila adakan hal asas seperti sidang media, mereka boleh jual tiket.
“Kalau sekarang buang papan iklan besar, TV, tinggal promosi radio saja, tidak anjurkan sidang media, malangnya perkara itu boleh merugikan skop pemasaran itu. Restoran yang kita sangat kenal pun buat iklan berterusan walaupun sudah cukup popular,” jelasnya.
Tambah Mode atau nama sebenarnya Syed Mohammad Syed Abdullah, 48, penganjur juga seharusnya peka dengan tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk menjayakan sesebuah konsert.
“Tugas kami memang cuma mahu fokus untuk persiapan persembahan. Tak mampu nak fikir pasal aspek pemasaran dan jual tiket itu saja. Jangan campur aduk. Masing-masing ada peranan sendiri. Penganjur niagakan kami dengan betul, kami akan jadi produk yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ruffedge bakal beraksi di konsert Gamon Music Fantasia yang bertempat di Setia Spice Arena, Pulau Penang pada 25 Januari tahun depan.
Selain Ruffedge, turut beraksi pada acara itu adalah kumpulan Hujan, Bunkface, Kangen Band dan D’Masiv.-UTUSAN