Tidak boleh umum naik harga – MyCC

Tidak boleh umum naik harga – MyCC

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Per­­saingan Malaysia (MyCC) mem­­beri amaran akan bertindak terhadap persatuan pernia­gaan yang mengumumkan jang­kaan kenaikan harga secara terbuka.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun menyifatkan tindakan peniaga itu sebagai usa­ha menga­buri mata rakyat dan mempromosikan amalan kartel.

Katanya, ia bukan sahaja boleh mempengaruhi harga pa­saran, malah berpotensi men­­­jejaskan ekonomi serta menambah beban kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, maklumat yang diperoleh mendapati terdapat persatuan yang cuba menyamarkan keputusan mereka sebagai jangkaan kenaikan harga masa depan atau panduan harga, walhal ia sebenarnya adalah keputusan te­rancang ber­unsurkan kartel.

“MyCC tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana menye­dari ia melanggar perundangan persaingan.

“Pengumuman sebegitu bo­leh dikategorikan sebagai perjanjian anti persaingan kerana ia mencerminkan keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang juga pesaing dalam industri,” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

Sebelum ini, beberapa pengusaha mengumumkan mereka dijangka menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan peningkatan kos operasi dan bahan mentah.

Sebagai contoh, tambang bas sekolah dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 menjelang sesi persekolahan tahun hadapan disebabkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi termasuk harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.

Selain itu, lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara dijangka menaikkan harga jualan makanan dan minuman melebihi 50 peratus bermula tahun depan selepas mereka menandatangani tender baharu.

Hal ini kerana, tender kantin sekolah dibuka setiap tiga tahun dan 10,000 pengusaha bakal memperbaharui kontrak masing-masing.

Tidak terkecuali, yuran bagi taman asuhan kanak-kanak (taska) juga dijangka meningkat bagi menampung kos operasi tambahan termasuk kenaikan gaji minimum, pembiayaan latihan dan kebajikan pekerja.

Sementara itu, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.

Ini berikutan, notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, pengumuman harga yang dilakukan secara terbuka berfungsi sebagai isyarat kepada ahli persatuan lain untuk menyelaraskan tindakan kartel secara bersepadu.

Kata beliau, tindakan ini memberi gambaran bahawa persatuan cuba menyusun strategi secara kolektif untuk mengawal harga di pasaran, sekali gus merugikan pengguna yang bergantung kepada harga berpatutan bagi keperluan harian,” ujarnya.

“Taktik sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencetuskan kebimbangan kerana ia melibatkan sektor penting seperti pengangkutan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.

“MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan tanpa mengira saiz yang terlibat dalam perilaku kartel atau menggalakkan amalan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Idrus turut mengumumkan pindaan Akta Persaingan 2010 akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan bagi memperkasakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC terhadap amalan kartel.

“Pindaan ini akan membolehkan tindakan yang lebih berkesan dikenakan terhadap kes sabotaj ekonomi seperti kartel melalui penalti yang lebih berat,” katanya.

Selain itu, Idrus menyeru ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan kartel untuk melaporkan perkara tersebut kepada MyCC.

“Kami menyediakan saluran aduan melalui laman web rasmi MyCC untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dan kegiatan sebegini dapat dihentikan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan jawatan atau keahlian persatuan bukanlah lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel yang menekan pengguna dan menjejaskan persaingan sihat dalam pasaran.

“MyCC komited memastikan pasaran tempatan kekal adil dan telus bagi melindungi kepentingan pengguna,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN