SHAH ALAM: Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti berkenaan.
Beliau berkata, PKR mengamalkan sikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu ke dalam parti itu.
“Sekarang ada perbincangan awal, (Ada permohonan?) tidak, perbincangan dahulu. Jadi, kita dalam proses perbincangan.
“Prinsipnya, PKR memang terbuka, ada pemimpin kita pernah jadi Setiausaha Agung Amanah, ada pemimpin DAP jadi calon kita, ada calon yang masuk DAP.
“Jadi, macam Tengku Zafrul pun dalam keadaan yang sama, kita tidak pernah menafikan dan budayakan tidak pernah mengajak orang, tetapi kita sedia berbincang kerana parti ini terbuka, orang yang bekas UMNO pun ada dalam Keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Khas Keadilan 2024, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri didakwa akan berpindah parti dari UMNO kepada PKR selepas terdapat dakwaan penyusunan kemasukannya ke parti itu.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan pihaknya mengutamakan rundingan antara kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menjaga keharmoniannya.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh memberi sumbangan kepada parti, tetapi dengan baik supaya hubungan kita dengan parti-parti termasuk UMNO dan rakan-rakan, baik.
“Selama ini, dari segi dasar kita, dalam hubungan dan pengalaman kita (bersama) PH, tidak menggalakkan tetapi kita tidak pernah menghalang, malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik antara parti,” jelasnya.
Sementara itu, Mingguan Malaysia dalam wawancaranya bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan beliau bersedia meninggalkan jawatan sekiranya mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Berdasarkan nasihat baginda sejak hari pertama mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, Tuanku menyebut supaya saya kekal menghabiskan tanggungjawab di negeri ini untuk pengal ini.
Penggal hadapan tidak tahu lagi, tetapi titah Tuanku, ada yang lebih baik untuk saya selesaikan beberapa perkara yang saya rancang,” ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan, Amirudin sekali lagi menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini.
Amirudin berkata, pengekalan jawatan beliau sekarang hingga ke penggal akhir bertujuan menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.
“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini.
“Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini turut melaporkan PKR dikatakan mempunyai senarai pemimpin dan bekas pemimpin yang mahu menyertai parti itu sejak berlaku perubahan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu, beliau akan memberi kenyataan dalam tempoh terdekat mengenai spekulasi meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.
Menurut Tengku Zafrul, beliau belum membuat sebarang komen mengenai isu itu termasuk spekulasi menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
“Saya belum membuat apa-apa komen mengenai politik melibatkan diri saya.
“Pada masa sama, kita sudah dengar kelmarin (Sabtu) yang Menteri Besar (Amirudin) telah membuat kenyataan beliau akan menghabiskan penggal ini,” katanya pada program Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sungai Besar di sini, semalam.










