ALOR GAJAH: Polis mengesahkan kemalangan lima kenderaan yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tujuh mangsa yang terbunuh setakat ini adalah pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).
Katanya, kenderaan yang terlibat pula adalah sebuah lori jenama Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan Toyota Estima.
Menurut beliau, pemandu bas yang meninggal dunia ialah Noorisnien Khamid, 56, manakala penumpang terbabit ialah rakyat Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Katanya, lima mangsa daripada Toyota Estima yang maut ialah pemandu, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.
“Hasil siasatan mendapati lori Foton dan bas persiaran dari arah utara ke selatan manakala kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima dari arah selatan ke utara. Apabila sampai di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton telah tercabut dan berada atas jalan di lorong tengah.
“Kemalangan berlaku apabila bas yang membawa 27 penumpang tiba di tempat kejadian telah melanggar tayar tersebut dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa bas terbabas ke lorong bertentangan, ia telah berlanggar dengan Perodua Bezza, lalu kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang. Selepas itu bas telah bertembung dengan lori Nissan dan Toyota Estima,” katanya.
Tambah Ashari, mangsa-mangsa yang cedera ialah pemandu Perodua Bezza, Loh Hui Teng, 29; pemandu lori Nissan, Mohamad Syafiq Mohd. Zuki, 27, (Zon Kuning Hospital Melaka) dan kelindan lori Nissan, Ku Alif Ku Ahmad, 16, (Zon Hijau Hospital Melaka).
“Penumpang Toyota Estima yang cedera ialah Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, di zon merah hospital sama dan seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identitinya,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, berdasarkan rekod, lori yang terlibat kemalangan itu baru didaftarkan pada April 2024.
Menurut beliau, lori terbabit juga dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan berkala kali pertama di Puspakom pada April 2025.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sudah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan menjalankan siasatan terperinci dengan kadar segera berhubung punca kemalangan.
Kata beliau, JPJ juga akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler dan bas yang terlibat.
“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – UTUSAN










