KUALA LUMPUR: Tarif baharu elektrik yang dikatakan membabitkan kenaikan hingga 14 peratus masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Untuk itu tarif lama yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus digunakan pakai tanpa sebarang perubahan sehingga ada ketetapan baharu di pihak kerajaan.
Ketua Pegawai Kewangan (Divisyen Kewangan Kumpulan) Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Nazmi Othman berkata, buat masa ini, pihak kerajaan sedang dalam semakan dan kajian semula bagi memuktamadkan jadual tarif yang baharu.
“Kerajaan mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat sebarang keputusan (tarif baharu tersebut),” katanya kepada pemberita dalam taklimat media mengenai Tempoh Kawal Selia (RP4) di sini semalam.
Katanya, dasar semasa kekal dengan 85 peratus pengguna domestik masih dilindungi daripada sebarang perubahan tarif elektrik selain semakan semula tarif itu adalah untuk mencerminkan harga bahan api semasa.
“Bagaimanapun, sehingga kini, kerajaan masih lagi mempertimbangkan mengenai perkara itu (tarif elektrik baharu) dengan mengambil kira faktor semasa termasuk pergerakan harga bahan api,” katanya.
Melalui RP4, sebanyak 14.2 peratus akan dinaikkan kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai tahun depan.
Perubahan ini akan berlaku selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Tambah beliau, menerusi pengumuman TNB kepada Bursa semalam adalah sebagai satu keperluan mandatori oleh Bursa Malaysia serta mematuhi arahan semasa susulan kelulusan kerajaan untuk melaksanakan RP4 di bawah rangka kerja Regulasi Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2027.
Sementara itu, Nazmi menjelaskan, kadar pulangan peraturan telah dikekalkan pada 7.3 peratus seperti yang ditetapkan dalam RP3.
“Ini akan membolehkan TNB membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang berterusan dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, kos penjanaan kekal sebagai komponen terbesar dalam tarif elektrik, dengan gas dan batu arang terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini.
“Sebarang kos penjanaan tambahan yang disebabkan oleh kenaikan harga bahan api untuk bekalan elektrik akan dipindahkan melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kos penjanaan elektrik tambahan disebabkan oleh perubahan harga bahan api (seperti gas atau arang batu) atau kos lain yang tidak dijangka untuk disalurkan semula kepada pengguna,” ujarnya.
Di bawah RP4, perbelanjaan modal yang dibenarkan (capex) adalah RM42.821 bilion, yang terdiri daripada RM26.554 bilion capex asas dan RM16.267 bilion capex bersyarat.
Jumlah capex yang dibenarkan untuk RP4, TNB dijangka memberikan manfaat ekonomi yang signifikan untuk merangsang ekonomi negara dan menyediakan rangkaian elektrik bagi memudahkan agenda peralihan tenaga negara.
Pada 20 Disember lalu, kerajaan sudah bersetuju supaya kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme ICPT yang dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Justeru, keputusan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh tersebut menunjukkan kerajaan komited menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan majoriti rakyat.
Beliau menjelaskan, penyasaran subsidi elektrik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini hanya melibatkan golongan mahakaya atau pihak industri yang mencatatkan keuntungan tinggi.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu (penyasaran subsidi elektrik) hanya melibatkan golongan atasan mahakaya atau industri yang mencatatkan keuntungan.
“Majoriti rakyat tidak terkesan dari kenaikan elektrik walaupun saya faham kos meningkat (sebab kenaikan tarif), tetapi walaupun kos meningkat, dia tak boleh menjejaskan kedudukan rakyat.
“Ini dari segi dasar, saya faham keperluan naik tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat.
“Secara terperinci (saya minta) pihak berkaitan menjelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi, semalam.










