SEREMBAN: Syarikat pengendali bas dalam program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau Bas.My diingatkan supaya mematuhi jadual dan kekerapan perjalanan yang ditetapkan bagi memastikan kecekapan dan ketersediaan perkhidmatan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika pengendali gagal mematuhi dua aspek tersebut berdasarkan pemantauan melalui Sistem Penentududukan Global (GPS), penalti akan dikenakan terhadap syarikat terbabit.
“Kalau buat model lama iaitu bergantung kepada syarikat swasta yang kadangkala apabila melihat laluan tidak menguntungkan mereka potong frekuensi (kekerapan) laluan itu, tetapi menerusi skim Bas.My mereka dibayar oleh kerajaan, maksudnya buat pengendali mereka tidak rugi, tiada alasan untuk mereka potong frekuensi.
“Jika mereka potong frekuensi, mereka tidak dapat bayaran, jika bas itu bergerak mereka dapat bayaran walaupun bas itu kosong, bas tetap bergerak kerana kita mahu pastikan frekuensi itu ada, kalau bas tidak bergerak, bayaran akan dipotong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bas.My Seremban: Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti di sini hari ini.
Menurut Anthony Loke, sebanyak RM178.5 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun atau RM35.7 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan Bas.My Seremban dapat dilaksanakan.
“Bagi memastikan perkhidmatan bas yang berkualiti disediakan, pas bulanan perjalanan tanpa had Bas.My juga akan diperkenalkan di Seremban dengan pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua 21 laluan Bas.My Seremban bagi tempoh 30 hari.
“Selain itu, Kad Konsesi Bas.My juga akan diperkenalkan. Di bawah inisiatif ini, golongan warga emas berumur 60 dan ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah berumur tujuh sehingga 17 tahun, boleh menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan Bas.My Seremban.
“Selain itu, tambang percuma di bawah Kad Konsesi Bas.My juga akan diperluaskan kepada golongan mahasiswa mulai 1 Januari depan seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berharap agar kerajaan negeri boleh meneruskan usaha dengan turut melabur untuk melengkapkan ekosistem perkhidmatan Bas.My Seremban. – UTUSAN










