PETALING JAYA: Penjanaan sisa pepejal yang dihasilkan rakyat Malaysia diunjurkan meningkat sehingga 17.03 juta tan metrik pada tahun 2035 berbanding 15.2 juta tan yang dijana pada tahun ini.
Berdasarkan unjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan janaan sisa pepejal saban tahun adalah disebabkan pertambahan populasi, kepesatan urbanisasi, industrialisasi, peningkatan taraf ekonomi serta perubahan gaya hidup rakyat Malaysia.
Mengikut rekod, jumlah sisa pepejal yang dihasilkan rakyat Malaysia pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 12.63 juta tan metrik yang dijana pada 2012.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya kini sedang aktif melaksanakan inisiatif yang dapat menyokong pemanjangan jangka hayat produk pasca pengguna, sekali gus mengurangkan pemindahan sisa pepejal ke tapak pelupusan.
Katanya, bagi menangani isu penjanaan sisa yang semakin meningkat dan keupayaan kapasiti tapak pelupusan yang terhad, kerajaan melalui Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) berusaha memantau, menyelaraskan perihal dasar dan pelaksanaan ekonomi kitaran bagi sisa pepejal selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Tambahnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, persatuan termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Antara inisiatif dilaksanakan dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Ekonomi Kitaran yang melibatkan semakan semula beberapa perundangan utama sedia ada berkaitan sisa pepejal dan kajian menyeluruh terhadap penggubalan RUU Ekonomi Kitaran.
“Kerajaan juga menetapkan hala tuju sasaran kadar kitar semula untuk tahun bermula 2026 sehingga tahun 2030,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Jawapan itu diberikan kepada pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang bertanyakan unjuran pembuangan sisa bagi 10 tahun kehadapan dan langkah serta cadangan diambil oleh NTEC bagi menangani isu kapasiti tapak pelupusan yang semakin terhad.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan juga mewajibkan pengilang untuk untuk mengemukakan data kitar semula sebagai salah satu syarat pelesenan kepada pemegang lesen premis kitar semula yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kerajaan juga memperkenalkan pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggunaan Material Flow Analysis (MFA) sebagai kaedah pengiraan kadar kitar semula di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, NCEC juga diberi tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) yang dilancarkan pada 6 Ogos lalu dan memfokuskan kepada usaha untuk mewujudkan pasaran baharu bagi sisa kitar semula melalui penambahbaikan garis panduan sedia ada.
“NCEC juga berperanan untuk memanjangkan jangka hayat produk melalui pembangunan garis panduan reka bentuk produk, meningkatkan pembangunan kemudahan pemerolehan bahan (MRF) untuk meningkatkan kecekapan pengasingan dan pemerolehan sisa dan kemudahan pengurusan sisa pepejal besepadu (IWMF) seperti Pembakaran Sampah untuk Tenaga bagi merawat sisa tidak boleh dikitar semula
“Agensi itu juga melaksanakan peluasan tanggungjawab pengeluar (EPR) supaya pengeluar bertanggungjawab untuk melaksanakan pemerolehan dan kitar semula dalam menguruskan produk pasca pengguna,” katanya. – UTUSAN