BUKIT MERTAJAM : Kerajaan negeri, pemaju serta pemilik baharu kepada bangunan komersial yang sebelum ini terbiar kosong disaran ‘duduk semeja’ untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, dalam hal ini, tindakan segera perlu diambil kerana keadaan itu sudah berlarutan agak lama.
“Kerajaan negeri bersama MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) seharusnya meninjau serta menyenaraikan semua projek serta bangunan yang terlibat.
“Kalau boleh adakan mesyuarat dengan pemaju swasta atau tuan punya projek termasuk pemilik baharu projek dan cari jalan penyelesaian terbaik.
“Tindakan baik pulih boleh diambil jika perlu kerana adalah tidak selamat dan mengganggu pandangan sekiranya tiada sebarang langkah diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, terdapat sekurang-kurangnya lima atau enam buah bangunan komersial terbiar atau dibiar terbengkalai di Seberang Perai ketika ini dan ada bangunan tersebut yang berkeadaan begitu sejak lebih 10 tahun yang lalu tanpa sebarang perubahan.
Disebabkan itu juga, ada penduduk yang khuatir lokasi bangunan ‘tinggal’ itu akan menjadi ‘port’ untuk kegiatan tidak sihat, tempat pembuangan sampah dan sebagainya walaupun ada bangunan tersebut yang telah bertukar pemilik baharu ketika ini.
Mengulas lanjut, Meenakshi juga mahu pemaju yang terlibat dalam projek yang dibiar terbengkalai itu disenaraihitamkan pada masa depan khususnya jika mereka sengaja berbuat demikian atau bertindak ‘lepas tangan’ dalam perkara tersebut.
“Kerajaan negeri juga harus ambil iktibar daripada kes-kes terbengkalai ini agar ia tidak berulang sekali lagi pada masa depan,” katanya yang memaklumkan, projek terbengkalai atau terbiar itu juga berisiko serta boleh mengganggu alam semula jadi jika ia dibiar tanpa sebarang tindakan untuk tempoh yang lebih panjang.
Terdahulu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid ketika dihubungi memaklumkan, pihak majlis tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membaik pulih premis serta bangunan tersebut buat masa ini.
Hal ini demikian kerana katanya, hampir semua pemilik bangunan atau projek tersebut adalah di bawah pemilikan swasta dan tidak bersangkut-paut dengan kerajaan negeri. – UTUSAN










