SEJAK tahun 2010, jumlah syarikat di Malaysia yang menumpukan kepada automasi kilang telah berganda, dengan 10 firma teratas kini mencatatkan penilaian gabungan melebihi RM25.8 bilion, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Automasi terbukti menjadi pemangkin perubahan yang mengubah cara industri menguruskan kebolehsesuaian operasi, pengoptimuman pengeluaran, kecekapan kejuruteraan dan kelestarian.
Perkembangan ini amat penting bagi sektor pembuatan negara yang dijangka berkembang sebanyak 4.5 peratus pada tahun hadapan, menurut laporan Economic Outlook 2025 terbitan Kementerian Kewangan.
Dengan kebangkitan teknologi industri 4.0 atau kilang pintar, pengilang di seluruh dunia semakin banyak mengadaptasi internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan robotik untuk mewujudkan sistem yang lebih saling berhubung dan pintar.
Teknologi ini mengoptimumkan pengurusan sumber serta mempertingkatkan proses membuat keputusan. Untuk menyokong pertumbuhan pengilang tempatan, kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menukar 3,000 kilang menjadi kilang pintar menjelang 2030 di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Namun, sektor pembuatan menghadapi cabaran tersendiri dalam melaksanakan transformasi digital.
Menurut pakar industri, salah satu cabaran utama adalah berkaitan teknologi maklumat.
Banyak sistem lama mengandungi lesen perisian yang usang atau tidak lagi relevan dalam lanskap digital hari ini. Dorongan ke arah kelestarian turut menambah lapisan kerumitan.
Dengan isu alam sekitar menjadi keutamaan dan peraturan yang ketat, pengilang terpaksa mengintegrasikan amalan lestari ke dalam operasi mereka.
Langkah ini bukan sekadar pematuhan tetapi juga untuk mendapatkan kelebihan daya saing dan menjamin kelangsungan dalam pasaran yang semakin menghargai amalan mesra alam.
Automasi universal sebagai pemangkin transformasi digital
Automasi universal adalah pendekatan transformasi yang merevolusikan integrasi teknologi digital dalam sektor pembuatan.
Strategi ini menggunakan ekosistem perisian modular dan plug-and-produce, menyerupai platform aplikasi untuk aplikasi industri, yang mempermudah penggunaan penyelesaian terbaik.
Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan fleksibiliti operasi tetapi juga mengurangkan kos keseluruhan, menjadikan automasi universal sebagai pemacu utama transformasi digital dalam sektor pembuatan.
Pendekatan ini juga menyederhanakan integrasi teknologi baharu ke dalam sistem sedia ada, membolehkan pengilang meningkatkan rangka kerja operasi tanpa memerlukan perubahan menyeluruh.
Dengan pendekatan ini, pelaburan sedia ada dapat dipelihara, sambil mempercepatkan penerapan amalan inovatif.
Salah satu komponen utama automasi universal ialah pemisahan perisian automasi daripada perkakasan, seperti yang ditunjukkan dalam penggunaan piawaian IEC 61499.
Piawaian ini memperkenalkan seni bina terbuka berasaskan peristiwa untuk Sistem Kawalan Teragih (DCS), membolehkan integrasi lancar pelbagai peralatan daripada pelbagai pembekal.
Platform seperti EcoStruxure Automation Expert oleh Schneider Electric, yang dibina berdasarkan piawaian ini, merupakan penyelesaian perisian jenama agnostik pertama.
Penyelesaian ini memudahkan pendigitalan sambil meminimumkan kos dan gangguan operasi.
Dikembangkan oleh Schneider Electric dan disokong oleh UniversalAutomation.org, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, ia menawarkan enjin pelaksanaan seragam berdasarkan piawaian IEC 61499.
Mengukuhkan kelestarian melalui automasi universal
Salah satu kelebihan ketara automasi universal ialah potensinya dalam meningkatkan kecekapan tenaga.
Dengan mengoptimumkan dinamik operasi mesin dan sistem, automasi universal memastikan penggunaan tenaga diminimumkan, sekali gus mengurangkan jejak alam sekitar yang berkaitan dengan proses pembuatan.
Selain pengurusan tenaga, automasi universal juga cemerlang dalam pengurusan sumber.
Teknologi ini membolehkan kawalan dan pemantauan penggunaan bahan yang lebih tepat, mempromosikan penggunaan sumber secara cekap serta mengurangkan pembaziran.
Kecekapan ini bukan sahaja membantu menjimatkan bahan tetapi juga menjana penjimatan kos, memberikan kelebihan berganda kepada pengilang yang komited terhadap amalan lestari.
Pengumpulan data operasi harian melalui integrasi automasi universal juga menyediakan pandangan mendalam mengenai setiap aspek proses pembuatan.
Analisis data ini membolehkan pengilang memperhalus penggunaan tenaga, mengoptimumkan penggunaan bahan dan meningkatkan amalan pengurusan sisa.
Dalam Malaysia terus menempuh perjalanan transformasi digital, integrasi automasi universal menjadi semakin penting.
Dengan penekanan kukuh terhadap kelestarian, teknologi ini menetapkan landasan bagi perniagaan untuk bukan sahaja memenuhi tetapi melangkaui piawaian industri.
Schneider Electric menyokong visi ini melalui pelbagai penyelesaian automasi industri, termasuk Pengawal logik boleh atur cara (PLC) maju, Variable Speed Drives, isyarat dan relai serta perisian canggih daripada AVEVA.
Alat ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya penyesuaian, memberi kuasa kepada industri untuk cemerlang dalam lanskap perniagaan yang sentiasa berkembang.
Penulis adalah Naib Presiden Perniagaan, Automasi Industri dan Proses, Schneider Electric Malaysia.-UTUSAN










