Rumah ibarat ‘tongkang pecah’

Rumah ibarat ‘tongkang pecah’

ANNUR Najiha dan suaminya membuang barangan yang rosak ditenggelami banjir di kediamannya di Taman Rakyat, Dungun, Terengganu semalam. – MINGGUAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Lebih 4,000 mangsa banjir di kawasan perumahan Taman Rakyat di sini, mengalami kerugian besar kerana terpaksa membuang banyak perabot dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir.

Rata-rata penduduk di kawasan itu menyifatkan banjir yang berlaku Sabtu lalu ekoran hujan lebat dan air pasang besar sebagai kejadian terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun lalu.

Seorang penduduk, Annur Najiha A. Rahim, 37, berkata, dia dan suaminya, Mohd. Zulkifli Abdul Rahman, 39, sebak melibat barangan dan kelengkapan rumah rosak selepas kediaman mereka dinaiki air lebih satu meter.

Menurutnya, mereka tidak dapat menyelamatkan harta benda termasuk sebuah motosikal dan kereta Perodua Viva disebabkan tiada di rumah ketika kejadian.

“Sebaik sahaja pulang ke rumah selepas air surut, saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya air mata mengalir, menggambarkan betapa sedih dan sayu melihat keadaan rumah.

“Tiada apa yang boleh diselamatkan. Rumah saya ibarat ‘tongkang pecah’. Mesin basuh dan peti ais di dapur hanyut ke ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia kini menumpang sementara di kediaman ibunya di Kampung Bukit Kor, Marang sejauh 60 kilometer kerana rumahnya belum siap dibersihkan.

Sementara itu, Mohd. Hazimi Ngah, 34, tidak menjangka rumahnya dinaiki air berikutan tidak pernah berdepan dengan kejadian itu sepanjang lapan tahun menyewa kediaman tersebut.

“Air naik ketika kami sedang tidur. Saya hanya menyedari rumah dimasuki air ketika bangun untuk solat Subuh. Ketika tu, air sudah paras betis dalam rumah dan paras pinggang di depan rumah.

“Saya bawa keluar isteri dan tiga anak ke tempat selamat sebelum saya tolak kereta mengharung air paras pinggang,” katanya yang menganggarkan kerugian lebih RM10,000.

Seorang lagi penduduk, Khairul Anwar Wahab, 44, berkata, air naik lebih daripada dua meter menenggelamkan banyak kediaman hingga ada rumah penduduk yang dinaiki air hingga paras bumbung.

“Banjir kali ini benar-benar ujian buat penduduk di sini. Banyak rumah yang tenggelam dan boleh dikatakan semua penduduk kerugian besar sebab banyak barang perlu buang.

“Selain tilam, perabot dan barangan elektrik juga rosak. Saya sendiri terpaksa buang perabot kerana ia runtuh dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN