PETALING JAYA: Struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sedia ada sudah diatur secara adil dan mencerminkan semangat setiakawan dalam gabungan tersebut.
Malah, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yakin, pembahagian jawatan dalam pakatan itu ketika ini sudah bersifat inklusif dan adil.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya terdapat cadangan untuk memperkemas struktur tersebut, ia boleh dibincangkan secara bersama dalam mesyuarat kepimpinan PN.
Ini kerana katanya, Bersatu sentiasa bersedia untuk berbincang secara musyawarah dengan Pas berhubung cadangan memperkemas pembahagian jawatan dalam gabungan itu.
“Kami melihat pandangan Pas sebagai satu bentuk keterbukaan untuk memperkuat gabungan. Setiap cadangan akan diberi pertimbangan dan sebarang perubahan perlu melalui proses rundingan secara musyawarah supaya ia selari dengan matlamat bersama PN,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berhak berhubung isu pembahagian jawatan penting dalam PN.
Hashim dilaporkan secara terbuka menegaskan jawatan-jawatan utama dalam PN tidak sepatutnya hanya dikuasai Bersatu sehingga meminggirkan parti lain terutama Pas dalam gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, setiap parti dalam PN mempunyai struktur kepimpinan yang jelas dan teratur.
Kata beliau, menurut perlembagaan PN, setiap parti berhak menghantar dua wakil untuk setiap jawatan yang diperuntukkan.
“Pengerusi PN dipegang oleh Bersatu, manakala parti lain seperti Pas dan Gerakan turut memainkan peranan penting dalam gabungan tersebut.
“Setiausaha Agung PN dilantik daripada Pas manakala Ketua Penerangan pula dari Bersatu. Selain itu, jawatan lain seperti Bendahari, Ketua Pemuda, dan Ketua Wanita juga diagihkan secara saksama antara Pas dan Bersatu sebagai parti utama dalam gabungan tersebut.
“Ini bagi memastikan komposisi kepimpinan adalah seimbang dan adil. Timbalan Pengerusi PN juga dipilih berdasarkan kesepakatan parti komponen dengan setiap parti diberikan dua wakil. Macam Gerakan, Pas dan Bersatu masing-masing mempunyai dua wakil,” katanya.
Bagaimanapun, Ronald berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara kepimpinan Bersatu dan Pas berhubung cadangan tersebut. – UTUSAN










