JOHOR BAHRU: Bagi membantu kanak-kanak autisme, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membangunkan patung robot dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut pensyarah UTM, Prof. Dr. Ir. Asnidah Abd. Wahab, robot tersebut mampu meniru tingkah laku serta pemikiran manusia yang boleh menjadi alat meningkatkan daya kreativiti dan minda anak-anak austisme.
“Idea membangunkan robot berinovasi dengan teknologi AI ini timbul apabila saya melawat pusat pemulihan istimewa bagi kanak-kanak autisme di Pasir Gudang dan Bandar Penawar pada 2019.
“Dari situ saya lihat kanak-kanak autisme diajar secara manual oleh tenaga pengajar untuk meniru pergerakan dan belajar untuk bergerak dan berjalan secara betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lebih membanggakan, robot ciptaan Asnidah itu berjaya memenangi pingat emas dalam Pameran Teknologi dan Seni Industri 2024 (INATEX) Fakulti Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan kategori Kesihatan dan Kesejahteraan anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Asnidah mengambil masa dua tahun membuat kajian untuk mencipta robot tersebut berbentuk ‘teddy bear’ atau apa juga haiwan kesukaan kanak-kanak.
Selepas membuat beberapa kajian terperinci dengan menggabungkan teknologi AI, robot inovasi memulakan percubaan dengan menggunakan 10 kanak-kanak autisme berumur antara empat hingga lapan tahun.
“Robot yang lengkap dengan peralatan elektronik dan aplikasi yang disambung ke komputer memainkan peranan membuat pergerakan yang mudah diikuti serta ditiru oleh kanak-kanak. Saya buat badan robot berbentuk ‘teddy bear’ lengkap berpakaian yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk mengikuti pergerakan yang dibuat oleh robot secara automatik.
“Setiap pergerakan yang dibuat oleh kanak-kanak tersebut akan terus direkodkan dan dirakam ke dalam komputer dengan adanya alat pengesan pergerakan di hadapan kanak-kanak bagi tujuan mengenal pasti apa kelemahan kanak-kanak ketika latihan pergerakan,” katanya.
Hasilnya amat memberangsangkan, walaupun dalam peringkat kajian dan ujian, kanak-kanak tersebut lebih tertarik mengikuti pergerakan robot berbanding diajar oleh tenaga pengajar kerana sifat kanak-kanak yang menyukai alat permainan.
Permainan dan pembelajaran itu dapat membantu minda dan daya kreatif kanak-kanak autisme untuk belajar dengan cara yang lebih efektif dan berteknologi serta bercadang membuka pusat pemulihan dilengkapi teknologi bagi membantu golongan yang memerlukan dan menubuhkan pusat sehenti bagi komuniti. – UTUSAN










