Remaja usaha kebun sawit, jana pendapatan RM7,000

Remaja usaha kebun sawit, jana pendapatan RM7,000

MUHAMMAD Hazim Mohd. Akhir mengusahakan 16 hektar tanaman sawit di Kampung Haji Dahalan di Tapah. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Dalam usianya baru 20 tahun, seorang remaja lelaki di Kampung Haji Dahalan di sini sudah memiliki kebun sawit seluas 16 hektar yang diusahakannya sendiri, termasuk juga semaian anak pokok kelapa sawit.

Muhammad Hazim Mohd. Akhir mengusahakan tanaman itu di kebun sawit milik keluarganya dan di tanah yang dipajak daripada penduduk sekitar Kampar dan Tapah.

Hasil titik peluh itu, pendapatan Muhammad Hazim kira-kira RM7,000 sebulan berdasarkan harga sawit kira-kira RM890 hingga RM950 setan.

Menurutnya, minat mengusahakan tanaman itu bermula apabila dia  sudah biasa dengan pekerjaan di ladang sawit membantu bapanya, Mohd Akhir Sidek, 55.

Katanya, sejak berusia 12 tahun lagi dia sudah ke kebun membantu bapanya dan dari situ timbul minat untuk mengusahakan sendiri tanaman komoditi itu.

“Mungkin sudah terbiasa melihat ayah kerja kuat di kebun sawit, selepas solat Subuh hingga ke petang setiap hari menyebabkan saya berminat menceburi tanaman komoditi ini.

“Pendidikan saya sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemahiran berkaitan pengurusan ladang kelapa sawit ini hasil tunjuk ajar ayah dan bersifat praktikal sendiri. Sekarang jika sehari tidak ke ladang ibarat tidak puas,” katanya ketika ditemui di Kampung Haji Dahalan di sini semalam.

Dia turut mengusahakan tanaman anak pokok kelapa sawit sebagai persediaan penanaman semula komoditi itu yang tidak lagi bersifat ekonomi dan tua.

Katanya lagi, dia turut menyimpan hasrat dan impian seperti rakan remaja sebaya dengannya untuk memiliki kenderaan dan gajet bersifat premium.

“Siapa tidak berkeinginan untuk memiliki kereta dan telefon canggih tetapi saya simpan dahulu hasrat itu untuk memperluaskan lagi ladang milik keluarga.

“Selain itu, saya menyimpan cita-cita pada masa depan untuk mempunyai kediaman dan ladang kelapa sawit sendiri apabila berkahwin kelak dan menjalani kehidupan sifar hutang.

“Saya turut mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang dan  ternakan ruminan iaitu lembu berpagar sebagai pendapatan sampingan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×