RCI Batu Puteh: Tun M cuba heret orang lain lemas bersama - Saifuddin

RCI Batu Puteh: Tun M cuba heret orang lain lemas bersama – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaitkan beberapa nama besar dalam keputusan berkaitan Batu Puteh baru-baru ini diibaratkan seperti ‘mengheret orang lain lemas bersama’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepatutnya bekas Perdana Menteri itu merujuk fakta sebenar dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau juga mengesahkan dirinya tiada dalam senarai Kabinet Dr Mahathir pada 2018 ketika keputusan itu dibuat biarpun negarawan itu memaklumkan ia keputusan bersama Jemaah Menteri.

“Jadi percubaan dia (Dr Mahathir) untuk heret (mengaitkan semua individu dalam Kabinetnya) ini macam orang lemas. Bila orang lemas ni kayu buruk pun dia capai. Begitulah keadaannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada dirinya ada pada mesyuarat Kabinet ketika keputusan melepaskan Batu Puteh itu.

Saifuddin berkata, beliau mengesahkan dirinya adalah kumpulan menteri ketiga yang dilantik menganggotai Kabinet Dr Mahathir pada 2018.

“Saya batch (kumpulan) ketiga lantikan. Batch pertama Dr Mahathir lantik empat orang, batch kedua 10 orang dan saya batch ketiga.

“Masa saya masuk Kabinet, benda (keputusan Baru Puteh) itu sudah ada keputusan. Saya masuk hanya beberapa bulan lepas perkara itu sudah dibuat keputusan,” katanya.

Pada sidang akhbar kelmarin, Dr Mahathir mendakwa keputusan melepaskan Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet pada 2018.

Dr Mahathir menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berkaitan Batu Puteh dibuat oleh Kabinet dan perkara itu boleh dirujuk pada minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018.

Dakwanya lagi, antara menteri yang ada dalam Kabinetnya ketika itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh Deo dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN