Polis terima 12,139 laporan kerosakan akibat banjir

Polis terima 12,139 laporan kerosakan akibat banjir

PENDUDUK membersihkan rumah masing-masing selepas banjir pulih di Taman Tabung Haji, Kepala Batas di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebanyak 12,139 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kerosakan harta benda penduduk membabitkan lapan negeri akibat kejadian banjir sejak 25 November lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, Kedah merekodkan negeri paling tinggi laporan polis diterima selepas 5,491 penduduk terjejas diikuti Terengganu (2,002 laporan); Pahang (1,890 laporan), Kelantan (1,821 laporan) ; Negeri Sembilan (566 laporan) ; Melaka (328 laporan); Johor (21 laporan) dan Perak (20 laporan).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kepada Utusan Malaysia, seramai 12,204 kekuatan sumber manusia telah digerakkan PDRM ke lapan negeri yang terjejas dalam musim Monsun Timur Laut (MTL) selain persediaan menghadapi bah gelombang kedua.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 1,376 aset kenderaan meliputi 979 buah aset darat, 389 (air) dan lapan (udara) turut terlibat dalam penugasan di lapan negeri yang terkesan akibat bencana banjir.

“Sebanyak lapan buah aset udara tersebut telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga penuh di bawah arahan terus saya sebagai Ketua Polis Negara dengan sebuah daripadanya beroperasi di negeri Kelantan secara tetap sehingga operasi ini berakhir,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, bagi aset darat terdiri 519 kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Land Rover akan ditempatkan di negeri terjejas diikuti lori (286 buah) ; van (174).

Jelas beliau, sebanyak 373 bot selain jetski (16 buah) turut digunakan dalam menghadapi MTL.

“Kita turut membekalkan 12,204 jaket keselamatan kepada semua petugas agar keselamatan pegawai dan anggota kita terjamin,” ujarnya.

Razarudin menegaskan, penugasan secara menyeluruh akan dilaksanakan PDRM melibatkan kekuatan sumber manusia dan aset dari pelbagai peringkat antaranya Kontinjen, Daerah hingga balai polis.

Beliau berkata, fokus penugasan adalah operasi bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa selain rondaan berkala di kawasan kejadian untuk pemantauan paras air dan mencegah jenayah.

“Kita (PDRM) juga akan beri focus penugasan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan para mangsa dan petugas bantuan. Selain, rondaan pasca banjir untuk mengekang kes kecurian atau kehilangan harta benda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Razarudin mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan amaran banjir dan mematuhi arahan berpindah ke PPS oleh pihak berkuasa.

Kata beliau, masyarakat boleh menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengetahui terdapat mangsa yang masih terperangkap dengan segera beserta lokasi terlibat.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah sentiasa mengawasi anak masing-masing melarang untuk bermain di kawasan banjir dan pemandu kenderaan dinasihatkan agar mematuhi arahan dan larangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ini adalah bagi mengelakkan risiko kenderaan dan mangsa sendiri dihanyutkan oleh arus deras,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, banjir besar akibat Monsun Timur Laut yang melanda sembilan negeri menyebabkan kemusnahan besar ibarat dibadai tsunami ter­utama bagi penduduk di Pantai Timur.

Bencana itu menyebabkan kemusnahan harta benda awam, rumah penduduk, infrastruktur, sektor pertanian dan ternakan, ‘ditelan’ bah disifatkan terburuk sejak 1967 ketika ‘bah merah’ melanda Kelantan.

Limpahan air Sungai Golok juga mengakibatkan pekan Ran­tau Panjang lumpuh sepenuhnya, menyebabkan peniaga di kawasan bebas cukai itu kerugian jutaan ringgit, dengan ada yang melelong barang bagi mengurangkan kerugian.

Pakar menjangka kerugian akibat banjir kali ini lebih tinggi mencecah lebih RM1 bilion. Ma­lah nilai ditanggung bukan sahaja membabitkan ke­musnahan infrastruktur awam tetapi juga penyaluran dana iaitu Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah serta Bantuan Wang Ihsan Kematian RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×