Polis Kelantan aktifkan DRT hadapi gelombang kedua banjir

Polis Kelantan aktifkan DRT hadapi gelombang kedua banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis Kelantan mengaktifkan Pasukan Tindakan Bencana (DRT) sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pada masa sama kesemua aset untuk tugasan menyelamat banjir termasuk dua buah helikopter miliknya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah ditempatkan di Mes Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

“Banjir kali ini berbeza dengan 2014 lalu apabila ia berlaku ekoran limpah air Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dan bukan Sungai Kelantan dari arah Gua Musang dan kami sudah bersedia dan sentiasa merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, penduduk negeri ini diingatkan sentiasa berwaspada dan bersedia berdepan banjir gelombang kedua berikutan MetMalaysia menjangkakan ia boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Mengikut laporan, MetMalaysia meramalkan angin kuat akan melanda bermula petang ini, manakala hujan lebat akan bermula Ahad ini.

“Penduduk di kawasan rendah dan terkesan banjir perlu mengikuti arahan pasukan penyelamat dan segera bertindak ke PPS tanpa perlu menunggu saat-saat akhir.

“Banyak masalah berlaku bila ada penduduk berdegil meninggalkan rumah masing-masing sehingga berlaku kejadian tidak diingini termasuk melibatkan kehilangan nyawa dalam rumah sendiri, sedangkan polis sentiasa membuat pemantauan di kawasan terlibat banjir termasuk rondaan cegah jenayah bagi memastikan penempatan mereka selamat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN