Pernah tengok kelaku buaya yang ganas dan aktif di depan mata? Selain itu, pernahkah melihat berpuluh ekor buaya bersaiz gergasi muncul serentak di permukaan air, seolah-olah tiba waktunya untuk mereka melahap dengan rakus?
Saya berpeluang merasai pengalaman tersebut ketika mengunjungi ladang ternakan buaya terbesar di Malaysia iaitu Jong Crocodile Farm di Siburan, Sarawak baru-baru ini.
Sebagai pencinta haiwan dan aktiviti luar yang ekstrem, saya mengambil kesempatan berkunjung ke ladang buaya tersebut yang hanya 30 kilometer dari bandar raya Kuching.
Bagi yang pertama kali melawat ke ladang reptilia itu, saya sarankan pakai kasut sukan kerana kawasan pejalan kaki yang tidak rata dan mudah tergelincir terutamanya ketika hari hujan.
Setelah memperoleh tiket masuk, saya meneroka lorong di sebelah kiri dan kanan yang menempatkan buaya muda.
Seekor buaya yang cacat fizikal menarik perhatian saya.
Buaya itu tidak mempunyai ekor dan sebelah kaki. Ia lebih suka menyorok di celah-celah daun di dalam sangkarnya.
Setelah penat berjalan, saya singgah sebentar di muzium yang memaparkan pelbagai maklumat menarik mengenai sang bedal.
Di situ, banyak jugalah perkara baharu yang saya dapat mengenai reptilia tersebut.
Muzium itu turut menempatkan rangka tengkorak kepala buaya Bujang Senang, iaitu spesies buaya yang sangat ganas dan mempunyai kisah legenda tersendiri.
Kemudian, saya berehat sebentar di restoran yang terdapat di dalam kawasan itu sambil mengisi perut yang sudah mula berkeroncong.
Pengunjung tidak perlu risau tentang harga makanan dan minuman kerana bagi saya, ia agak berpatutan.
Terdapat juga hidangan unik yang menggunakan daging buaya.
Pertunjukan sesi buaya makan
Pejam celik, pejam celik di ruang makan, akhirnya tiba waktu yang ditunggu-tunggu iaitu melihat sang buaya melahap ganas di waktu makan petangnya.
Belum lagi loceng dibunyikan oleh pekerja, buaya-buaya di dalam kolam besar mula memunculkan diri seolah sudah tahu tibanya waktu makan.
Pekerja mengikat beberapa ketulan daging ayam pada seutas tali yang panjang.
Kemudian, mereka memberi isyarat membenarkan buaya-buaya tersebut makan.
Buaya-buaya di situ seperti sudah diajar sepenuhnya untuk berdisiplin.
Walaupun rezeki sudah ada di depan mata, namun buaya bergilir-gilir melahap daging ayam yang disangkut pada tali berkenaan.
Teruja melihat mereka makan dengan tertib dan tidak berebut untuk makan.
Selain itu, di bahagian lain, pekerja memberi makan menggunakan penyepit panjang sambil berdiri di tepi kolam.
Saya sedikit terkejut apabila melihat aksi seekor buaya melompat tinggi keluar dari dalam air untuk mendapatkan ayam berkenaan.
Nampak bersungguh-sungguh ia mahu makan.
Kemudian, saya berkesempatan menyaksikan pekerja memberi makan buaya yang berada di darat.
Kata kakitangan berkenaan, rata-rata buaya yang berada di darat adalah betina dan ia sedang menjaga sarang dan telur.
Ruangan mendamaikan
Selesai saja segmen mendebarkan bersama buaya, saya melangkah ke taman burung yang indah.
Suasana berubah 360 darjah, daripada seram dan menakutkan kepada damai dan menenangkan ditemani kicauan burung.
Saya berpeluang melihat burung merak dan burung flamingo dari jarak dekat.
Ada juga burung-burng eksotik lain yang bermain bebas di dalam sangkar.
Selain itu, terdapat juga ruangan reptilia lain seperti ular sawa, biawak, kura-kura, iguana serta haiwan-haiwan ternakan yang jinak.
Seronok melihat iguana berpasangan ‘melepak’ di atas sebatang kayu, lagaknya seolah-olah sedang berborak.
Keseluruhannya, pengalaman di sini cukup menarik dan mengujakan bagi pencinta haiwan.-UTUSAN










