PETALING JAYA: Perdana Menteri (PM) Pakistan, Shehbaz Sharif menzahirkan simpati terhadap Malaysia yang diuji dengan musibah banjir.
PM, Anwar Ibrahim berkata, panggilan telefon itu diterima petang tadi untuk menyatakan solidariti dan hasrat untuk menghantar sumbangan kepada Malaysia.
Katanya, Shehbaz mendoakan agar lebih 140,000 rakyat yang terkesan dengan banjir di beberapa negeri itu diberikan perlindungan.
“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, PM Shehbaz turut menyatakan hasrat untuk menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat kita yang diuji saat ini.
“Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati beliau dan mengalu-alukan sumbangan itu bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keutamaan dan perhatian kini diberikan sepenuhnya kepada kebajikan mangsa banjir.
Dalam pada itu, Anwar turut sempat menjemput PM Pakistan itu untuk berkunjung ke Malaysia awal tahun depan. – UTUSAN