PH, PKR tidak pernah tinggal janji reformasi

PH, PKR tidak pernah tinggal janji reformasi

ADAM ADLI ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan PKR tidak pernah meninggalkan manifesto atau janji-janji reformasinya selepas selepas mentadbir kerajaan Persekutuan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Angkatan Muda Kea­dilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, parti itu mene­rima dengan baik pelbagai kritikan yang dilemparkan semua pihak berkenaan janji reformasi.

Namun, kata beliau, pengkritik perlu memahami bahawa kerajaan terbentuk merupakan Kerajaan Perpaduan, di mana ia mempunyai pelbagai manifesto daripada semua parti yang menjalinkan kerjasama.

TERIKAT

“Kita tidak boleh membiarkan rakan-rakan di Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sebagainya rasa terikat tetapi kami tidak mengapa, saya tidak cakap PH membakulsampahkan manifesto kerana bagi saya itu me­rupakan komitmen kami.

“Banyak perkara kita ajukan mengikut seperti apa digariskan dalam manifesto. Ada ba­nyak perkara yang mungkin kita tidak boleh capai, halangannya bukan semata-mata keazaman politik tetapi ada halangan bersifat kekangan kewangan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara tidak menunjukkan reformasi se­perti yang dijanjikan.

Bersih mengingatkan PH dan PKR bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan itu, malah ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pengkritik PH perlu melihat kepada pelbagai tajuk lain dalam manifestonya dan tidak hanya fokus pada tajuk diminati sahaja.

TIDAK DIPANDANG

“Lihat juga pada tajuk yang mungkin tidak dipandang langsung, soal kemiskinan, subsidi dan bantuan kepada golongan penoreh getah, nelayan serta sebagainya, transisi tenaga, menyelesaikan masalah sekolah daif dan memerangi masalah miskin tegar.

“Itu sedang dan sudah dicapai, boleh rujuk semula tetapi tiada siapa memuji kerajaan apabila kita melunaskan apa yang dijanjikan di dalam manifesto,” jelasnya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menyifatkan pencapaian-pencapaian tersebut menandakan PH tidak pernah melupakan janji-janji di dalam manifestonya walaupun ia tidak diiktiraf oleh sebahagian pihak.

“Jika kita terus memandang kepada perkara-perkara yang tidak mampu dicapai sekarang, kita tidak boleh melangkah maju kehadapan,” katanya.

Beliau turut menggesa pemimpin-pemimpin PH supaya mengambil kritikan yang dilontarkan sebagai pembakar semangat untuk terus melunaskan manifesto dan tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk berhenti berusaha.

“Tidak mengapa jika sesetengah pihak akan pandang sinis terhadap komitmen dan keazaman kita tetapi jangan jadikan kritikan sebagai satu sebab untuk kita berhenti berusaha,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×