Perokok rancak, tidak endah larangan

Perokok rancak, tidak endah larangan

ANTARA perokok yang tidak mengendahkan larangan merokok di sebuah kedai makan di Bangsar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Budaya’ me­rokok di kedai makan kini kembali rancak walaupun kempen dan penguatkuasaan telah bermula sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai makan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini mendapati, rata-rata pero­kok tidak mengendahkan tanda larangan merokok.

Dalam tinjauan selama hampir sejam di setiap kedai makan itu, ada perokok berulang kali menghisap rokok sehingga menimbulkan rasa kurang selesa bagi segelintir pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

GAGAL

Ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada kempen larangan merokok yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2019 itu gagal dan bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau sebaliknya.

Tidak mungkin kebanyakan perokok tegar lupa dengan lara­ngan merokok di premis kedai makan sebagaimana diumumkan kerajaan sebelum ini tetapi mereka mungkin mengambil kesempatan daripada kelemahan penguatkuasaan.

Apa yang menyedihkan, pemilik kedai juga tidak menegah dan hanya membiarkan sahaja tindakan perokok tegar berke­naan, mungkin kerana tidak mahu kehilangan pelanggan.

Seorang daripada pemilik kedai yang mahu dikenali sebagai Hilmi, 50 berkata, dia hanya membiarkan tindakan dilaksanakan pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden lain jika dia sendiri yang menegur.

“Saya tidak berani. Lagipun saman hanya boleh dikeluarkan oleh penguat kuasa sahaja dan apa-apa saya serahkan kepada mereka,” katanya baru-baru ini.

Pemilik kedai makan itu juga berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir perokok terutama bagi mereka yang makan di luar premis untuk me­rokok selepas makan dengan beranggapan ia tidak menyalahi undang-undang.

Undang-undang terhadap pe­rokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari tahun 2020.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

PROAKTIF

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamaluddin Ab Rahman berkata, Kementerian Kesihatan perlu lebih proaktif dengan menggunakan semua saluran sedia ada bagi memastikan kempen tersebut berjaya dan mencapai matlamat.

Katanya, ini kerana kempen larangan merokok di tempat makan dilihat masih kurang menyerlah di saluran media termasuk platform media sosial.

Malah katanya, momentum penyampaian pendidikan dan mempromosi kesihatan juga perlu dipertingkatkan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

“Saya tidak nampak (kempen) dalam media sosial. Saya juga tidak nampak saluran media utama digunakan untuk tujuan ini.

“Justeru, saya menyeru agar Kementerian Kesihatan menggunakan saluran yang lebih kontemporari seperti Tik Tok, Instagram dan Facebook kerana capaian audien di kesemua platform itu lebih meluas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini