Peniaga wanita didenda miliki 146 alatan seks

Peniaga wanita didenda miliki 146 alatan seks

CH’NG Ling Yeen (kiri) ketika hadir menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang peniaga wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis bahan lucah tanpa kebenaran pihak berkuasa, Jun lalu.

Tertuduh, Ch’ng Ling Yeen, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Dia juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda dikenakan, namun Ling Yeen didapati sudah menjelaskan denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa memiliki pelbagai alat seks iaitu vibrator, dildo, anal plug dan kondom yang disimpan di sebuah premis di Taman Petani Jaya di sini, pada 13 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Khairul Azhar Shuaib, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Peguam tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan ianya kesalahan pertama anak guamnya selain wanita itu masih menanggung dua anak berusia sembilan dan 10 tahun.

“Tertuduh juga perlu menyara ibu dan ibu mertua yang mempunyai masalah kesihatan dan melakukan perniagaan tersebut dengan alasan untuk membantu perniagaan suami yang semakin merosot,” katanya.

Mohd. Khairul kemudian meminta hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan untuk kepentingan awam.

Sebelum ini, media melaporkan Bahagian Penguatkuasaan KDN Putrajaya menahan seorang peniaga yang dikesan menjual dan mempromosi alat seks secara dalam talian kepada orang ramai.

Dalam pemeriksaan ke atas premis rumah kedai dua tingkat di Taman Petani Jaya itu, anggota penguatkuasaan menemui pelbagai stok alat seks yang disimpan wanita berkenaan di dalam stor. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN