PUTRAJAYA: Pengusaha feri dan bot penumpang termasuk perkhidmatan feri RORO di pulau utama negara bakal menikmati subsidi diesel berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kira-kira 40 pengusaha perkhidmatan itu bakal menikmati subsidi bahan bakar berkenaan pada harga siling ditetapkan iaitu RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter.
Jelas beliau, subsidi diesel itu bakal dinikmati pengusaha di laluan strategik perkhidmatan seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.
“Pemberian subsidi ini adalah sejajar dengan usaha keperihatinan kerajaan Madani untuk memastikan keberlangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam.
“Subsidi ini dijangka memberikan impak yang positif kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta feri RORO dengan mengurangkan bebanan kos operasi khususnya membabitkan kos bahan bakar,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, bagi pengusaha yang ditawarkan subsidi itu, tuntutan pertama boleh dikemukakan pada atau sebelum 20 Februari 2025.
Beliau berkata, bagi kelulusan syarat permohonan subsidi pula, pengusaha mesti berdaftar dengan Jabatan Laut dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat yang disahkan oleh pihak berkuasa.
“Pengusaha yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada setiap bulan.
“Mereka juga perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia ke Kementerian Kewangan serta satu salinan kepada Stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya,” katanya.
Anthony Loke turut memberi peringatan kepada para pengusaha supaya tidak sesekali menaikkan harga tambang perkhidmatan atau pihaknya akan bertindak tegas dengan menarik semula subsidi yang diberikan.
Selain itu, katanya, pengusaha yang sengaja menaikkan tambang perkhidmatan tanpa kebenaran Kementerian Pengangkutan juga bakal berdepan pembatalan lesen syarikat. – UTUSAN