CHICAGO : Penyanyi pop terkenal, Katy Perry, menepis dakwaan bahawa dirinya merupakan ‘individu yang paling dibenci di Internet’ semasa menjayakan persembahan jelajah Lifetimes terbarunya di Amerika Syarikat (AS).
Menerusi sebuah video yang dirakam oleh peminat dan tular di platform X, penyanyi berusia 40 tahun itu berdiri di tengah pentas sambil menerima sorakan gemuruh daripada para peminat.
Sebelum meneruskan ke lagu seterusnya, Perry berseloroh secara spontan.
“Wow, mereka kata saya adalah individu yang paling dibenci di Internet. Saya rasa itu tidak benar,” katanya disambut dengan sorakan dan tepukan daripada penonton.
Sorakan hangat itu bagi Perry cukup membuktikan bahawa dia masih mempunyai sokongan kuat daripada para peminatnya, sekali gus menafikan spekulasi negatif terhadap dirinya.
Sebelum ini, penyanyi lagu I Kissed a Girl itu turut pernah menyindir golongan pengkritik yang mendakwa dia tidak pandai menari.
Dalam satu video peminat yang dimuat naik di TikTok, Perry dilihat melompat-lompat di atas pentas sambil mempersembahkan beberapa gerakan tarian.
Perry, yang juga ibu kepada Daisy Dove, 4, hasil hubungannya dengan pelakon Orlando Bloom, turut pernah menjadi perhatian media selepas menyertai misi angkasa Blue Origin pada 14 April lalu.
Misi tersebut turut disertai oleh tokoh terkenal seperti Gayle King dan Lauren Sanchez.
Namun begitu, beberapa selebriti seperti Olivia Munn, Amy Schumer dan Emily Ratajkowski secara terbuka menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap penyertaan Perry dalam misi tersebut.









