MELAKA: Seorang pemuda tidak menyangka penyertaan pertamanya pada Himpunan RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 membuahkan hasil selepas dia memenangi sebuah kereta Proton X50.
Muhammad Aiman Hakimi, 23, berkata, dia seakan tidak percaya apabila namanya diumumkan sebagai pemenang memandangkan acara yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih 50,000 peserta.
Katanya, dia datang dari Rawang, Selangor ke Melaka menaiki motosikal Yamaha RXZ secara konvoi bersama rakan-rakan ayahnya yang turut meminati jentera legenda dua roda itu.
“Sepatutnya saya datang bersama ayah tetapi motosikalnya mengalami kerosakan pada saat akhir. Ayah suruh saya teruskan perjalanan ke Melaka bersama rakan-rakannya.
“Apabila saya beritahu telah memenangi sebuah kereta, ayah terkejut dan tidak percaya. Saya tidak mengharapkan apa-apa tetapi berkat doa ibu dan ayah selain rezeki dari Allah, saya memenangi hadiah istimewa ini,” katanya ketika ditemui pada Himpunan RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh di sini, kelmarin.
Tambahnya, Melaka merupakan antara negeri cukup istimewa kerana dia dan keluarga kerap datang untuk melancong.
“Melaka banyak tarikan terutama makanannya yang sedap. Jadi, kemenangan ini menambahkan lagi kenangan indah saya di Melaka.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih khasnya kepada Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) kerana menyediakan hadiah yang cukup bermakna ini,” ujarnya. – UTUSAN