KUALA LUMPUR: Media sosial dan pempengaruh mempunyai peranan besar dalam usaha mempromosikan destinasi menarik tempatan sekali gus memajukan sektor pelancongan negara selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak kementerian juga menggunakan platform media sosial dan khidmat pempengaruh sebagai usaha menarik minat generasi muda dalam serta luar negara.
“Kita harus akui, di era modenisasi ini, media sosial dan pempengaruh adalah satu platform mustahak untuk kita. Dalam promosi pelancongan, kita guna semua platform media sosial kerana sedar kepentingannya.
“Tambahan pula, kita boleh berkongsi destinasi pelancongan menarik dalam negara menerusi gambar dan video. Ini adalah platform utama untuk sektor pelancongan selain media arus perdana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Makan Malam All Star Influencer Award (ASIA) 2024 di sini baru-baru ini.
Turut hadir Penganjur ASIA2024, Datuk Abd. Rahman Soltan dan 60 pempengaruh dari sembilan negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan China.
Dalam pada itu, mengulas berhubung penganjuran ASIA2024, King Sing berkata, kehadiran 60 pempengaruh dari sembilan negara menyokong anugerah tersebut dilihat sebagai usaha baik dalam mempromosikan negara.
“Terima kasih kepada ASIA2024 dan para pempengaruh yang hadir, yang bukan sahaja membantu mempromosikan acara tersebut tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.
“Ini selaras dengan usaha kita menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Kehadiran mereka memberikan impak besar dengan menonjolkan keindahan dan keunikan negara kepada global menerusi media sosial.
“Kandungan kreatif yang dihasilkan oleh pempengaruh memberikan dimensi baharu kepada strategi pemasaran pelancongan, membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih menarik, pantas dan relevan,” kongsinya.
Sementara itu, Abd. Rahman, ASIA 2024 yang bakal berlangsung 7 Disember ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti selain menghimpunkan bakat serta pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya.
“Peserta dengan jutaan pengikut akan menyertai aktiviti seni dan budaya di Melaka. Kandungan video yang dihasilkan memfokuskan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia, yang dapat menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.
“ASIA 2024 juga memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti. Kami mahu melahirkan pencipta kandungan yang bertanggungjawab dan mampu menyampaikan mesej positif kepada audiens mereka,” ujarnya.
ASIA edisi kedua ini turut menampilkan 13 kategori pertandingan, antaranya Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award, dan Best Transition/Editing Award. Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai dan trofi eksklusif.-UTUSAN