PETALING JAYA: Kerajaan komited untuk menghadkan penggunaan tenaga kerja asing kemahiran rendah dalam semua sektor ekonomi yang kini mencecah 2,470,781 orang pekerja yang aktif di seluruh negara.
Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen setakat 30 September lalu, semua pekerja asing itu bekerja dalam enam sektor formal dan satu sektor informal iaitu pembantu rumah di negara ini.
Mengikut pecahan, sektor pengilangan merupakan penyumbang tertinggi penggunaan tenaga kerja asing iaitu melibatkan seramai 771,327 orang, pembinaan (698,407), perkhidmatan (448,572), perladangan (266,600), pertanian (183,086), pembantu rumah (102,037) serta perlombongan dan pengkuarian (752).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pendirian untuk menghadkan penggunaan tenaga kerja asing kemahiran rendah dalam semua sektor ekonomi adalah seiring dengan dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menetapkan supaya siling jumlah pekerjaan asing tidak melebihi 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
Katanya, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dan mengoptimumkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam guna tenaga negara, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk mengekalkan keputusan pembekuan kelulusan kuota pekerja asing baharu.
“Keputusan yang dibuat sejak 18 Mac 2023 itu adalah bagi menyokong dasar menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara menjelang 2025 seperti yang ditetapkan di bawah RMK-12.
“Pembekuan kelulusan kuota baharu pekerja asing juga adalah sejajar dengan prinsip untuk memberi keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran buruh sebelum kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen Malaysia bagi menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan jumlah pekerja asing dalam negara mengikut sektor dan pendirian kementerian untuk menghadkan penglibatan tenaga kerja asing bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing di samping mengoptimumkan tenaga kerja tempatan.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, kerajaan juga melaksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) bagi semua sektor kecuali perladangan dan pertanian pada 1 Januari 2025 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir.
Katanya, semua Agensi Kawal Selia (AKS) menetapkan dan menentukan keperluan sebenar pekerja asing dalam sektor dan sub-sektor berkaitan.
“Keperluan dalam kesemua sektor pekerjaan yang diterajui oleh AKS berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang menguruskan urusan dan pembangunan sektor/sub-sektor industri berkaitan.
“Antara lain, inisiatif diambil adalah dengan mengarusperdanakan program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan penyertaan warga tempatan yang melahirkan individu berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada industri berintensif buruh kepada high-end industry,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga mengambil pendekatan meningkatkan pembiayaan latihan di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) melalui caruman levi majikan untuk melatih semula pekerja bagi meningkatkan kemahiran pekerja.
“Terakhir adalah mengkaji dan menilai semula kadar gaji minimum sedia ada supaya supaya selari dengan kos sara hidup semasa bagi membolehkan penyertaan lebih ramai pekerja tempatan yang sebelum ini kurang berminat bekerja dalam dengan pekerjaan bergaji rendah yang banyak diisi oleh pekerja asing kurang berkemahiran,” katanya. – UTUSAN










