Pejabat kedutaan hadiah troli baharu kepada dua sahabat ke Mekah

Pejabat kedutaan hadiah troli baharu kepada dua sahabat ke Mekah

MOHAMAD Azizul Abdullah (kiri) dan Mohamad Al-Bukhari Ellia (dua dari kanan) bersama penduduk tempatan semasa berada di Haryana, India ketika dalam misi berjalan kaki ke Mekah. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pejabat kedutaan Malaysia di India menghadiahkan troli baharu kepada dua sahabat dari negeri ini yang dalam misi berjalan kaki ke Mekah.

Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, berkata, hadiah itu juga sebagai tanda sokongan kakitangan pejabat kedutaan untuk digunakan dalam perjalanan menuju ke Pakistan.

“Troli yang kami gunakan sepanjang perjalanan dari Bagan Serai, Perak hingga ke Hatyai, Thailand sebelum ini terpaksa ditinggalkan kerana kos untuk membawanya menaiki kapal terbang memakan belanja besar iaitu sebanyak RM13,000 bagi sebuah troli,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Kedua-dua mereka tiba di India pada Selasa dengan menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand.

Menurut mereka, perjalanan untuk menunaikan haji masih mengikut jadual selepas memulakan perjalanan dari kampung mereka di sini pada awal bulan ini.

Katanya, perjalanan dari Hatyai ke Bangkok sebelum ini sepatutnya menaiki kereta api namun akibat banjir, mereka terpaksa membatalkan perjalanan tersebut dan menaiki pesawat dari Hatyai ke Bangkok sebelum ke India.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di India, mereka bermalam di hotel dan keesokannya diraikan oleh kakitangan Kedutaan Malaysia di New Delhi.

Mengenai perjalanan di India, mereka berkata, ia tidak mudah kerana faktor suhu yang sejuk di bawah 6 darjah selsius dan hujan lebat membataskan pergerakan mereka.

Menurutnya, mereka mungkin terpaksa menaiki kenderaan di beberapa tempat tertentu untuk sampai ke sempadan Pakistan.

“Kami jangka tiba di Lahore, Pakistan pada awal Januari sebelum meneruskan perjalanan sejauh 2,295 kilometer ke bandar Abbas, Iran seterusnya ke Dubai,” katanya.

Sementara itu, mereka memberitahu, kekangan data internet di India menyukarkan mereka untuk kerap berinteraksi secara langsung dengan pengikut mereka di media sosial.

“Data internet kami di sini sangat terhad, hanya 3GB sehari, jadi kami terpaksa mengurangkan penggunaan media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, mereka mengakui sedar ada kecaman dalam media sosial terhadap keputusan mereka berjalan kaki ke Mekah.

Namun, jelasnya, mereka sudah merancang misi itu sejak dua tahun lalu dengan lebih banyak berjalan kaki daripada menaiki kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN