KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan nilai kerugian lebih RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian bermula Januari hingga Oktober lalu.
Jumlah nilai kerugian tersebut melibatkan penipuan dalam talian atau scam, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman serta pelaburan yang tidak wujud.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga merupakan hasil daripada tindakan termasuk penangkapan dan rampasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’.
Kata beliau, masalah yang dihadapi adalah kerana wujudnya peranan berbeza antara pemberi pinjaman wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun atau mule account, ejen simbah cat serta ejen edar risalah dan banner.
Bagaimanapun, jelasnya, sebanyak tujuh buah premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A (b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.
“Syarikat tersebut memegang kad ATM peminjam, ini yang menyulitkan. Seksyen disebut itu termasuk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 436 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.
“Sebanyak 136 kertas siasatan dibuka dan 25 kertas siasatan berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan. Penguatkuasaan ini mencakupi pemberi pinjaman wang dan pemegang pajak gadai yang berlesen yang berdaftar di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya semasa sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memintanya menyatakan punca kenaikan kes dan langkah pencegahan terhadap jenayah pinjaman tidak berlesen dan jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, antara langkah pencegahan yang diambil kerajaan adalah di bawah Pencegahan Jenayah dan Kesedaran Awam serta penubuhan laman web Semak Mule.
Jelasnya, walau laman web tersebut menunjukkan kejayaan tetapi ia turut mendedahkan kenyataan yang membimbangkan.
“Ini kerana sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan di dalam Semak Mule melibatkan penipuan jenayah dalam talian.
“Portal ini banyak membantu kerana dengan laporan, 32,066,000 carian telah dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif, maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal tersebut,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, undang-undang baharu melibatkan Seksyen 116D Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk merampas dan menyekat transaksi kewangan yang mencurigakan akan turut membantu.
Katanya, antara langkah lain diambil membabitkan Kementerian Komunikasi adalah melakukan sekatan terhadap mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan yang mencurigakan.
“Lebih 1.4 bilion panggilan meragukan dan sejumlah 1.2 bilion SMS yang tidak diminta (kita sekat). Kemudian kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menamatkan 118,184 talian serta menyekat akses kepada 9,474 laman palsu yang dikesan.
“Ini kita rumuskan tentang masalah dan tindakan diambil, maka pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dilakukan, selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC),” jelasnya.-UTUSAN