KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 usahawan di Wilayah Persekutuan bakal menerima manfaat menerusi Program Pemformalan Usahawan Informal melibatkan ibu tunggal, usahawan kecil dan anak muda, pada tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, program tersebut telah diaplikasikan sesuai dengan keperluan usahawan di Wilayah Persekutuan,
Katanya, menerusi program itu, usahawan kecil lebih mudah untuk mendaftarkan dan mendapatkan lesen perniagaan mereka menerusi program tersebut dan dapat mengakses segala bantuan yang diperlukan.
“Dengan mendaftarkan perniagaan mereka mengikut undang-undang, usahawan ini dapat mengakses pelbagai bentuk bantuan kerajaan, termasuk kewangan, peluang pemasaran, perlindungan undang-undang, serta jaringan keselamatan sosial bagi perniagaan mereka.
“Bukan itu sahaja, saya juga mengusulkan Majlis Belia (MBM) menghantar kertas cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadikan Medan Selera Singgang MADANI Batu Bata, Titiwangsa sebagai tapak khusus Medan Selera Belia,” katanya waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Prabakaran Parameswaran (PH-BATU) yang meminta kerajaan memperuntukkan dana dalam Belanjawan 2025 kepada Pembangunan Usahawan untuk aktiviti latihan kepada usahawan muda dan ibu tunggal di Wilayah Persekutuan.
Tambah beliau, pada Oktober lalu, Jabatan Wilayah Perekutuan turut merasmikan Program Dapur Digital di Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di Kuala Lumpur bagi memperkasa golongan B40, ibu tunggal dan belia dengan inovasi digital.
“Program ini mendapat sokongan strategik agensi lain seperti Kementerian Kewangan, Pepper Labs, Yayasan Hasanah dan DBKL,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk menjadikan Malaysia negara keusahawanan unggul dan inklusif, selain meningkatkan daya saing usahawan muda serta ibu tunggal di Wilayah Persekutuan.-UTUSAN