Negara perlu 500,000 hektar tanah untuk tanaman padi

Negara perlu 500,000 hektar tanah untuk tanaman padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 hektar tanah bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.

Ketika ini, kawasan penanaman padi di negara ini hanya meliputi antara 280,000 hingga 300,000 hektar dan ia masih tidak mencukupi untuk mencapai tahap sara diri (SSL).

Profesor Agronomi Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata, masalah itu berpunca daripada kekangan keluasan sawah yang terpecah kepada lot kecil.

Kata beliau, keadaan itu menyukarkan penggunaan teknologi moden seperti jentera besar, sekali gus menjejaskan produktiviti.

“Untuk mengusahakan sawah padi secara efisien, kita memerlukan kawasan penanaman yang luas dan berkelompok, sekurang-kurangnya 500,000 hektar.

“Namun, di Malaysia kebanyakan kawasan sawah adalah kecil dan berselerak, menyukarkan proses mekanisasi serta pengurusan tanaman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan kerajaan kini memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan tanah terbiar kira-kira 91,000 hektar di seluruh negara dengan tanaman padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia termasuk di kawasan yang berada di negeri-negeri luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, kawasan jelapang padi yang memiliki sistem pengairan lengkap boleh menghasilkan sehingga lima tan padi sehektar, tetapi kawasan di luar jelapang hanya mampu mengeluarkan sekitar dua hingga 2.5 tan sehektar kerana penanaman terhad kepada musim hujan.

Menurutnya, negara ini sebenarnya memiliki produktiviti padi yang lebih baik (4.2 tan sehektar) berbanding Thailand dan Vietnam (3.5 tan sehektar).

“Kalau kita boleh dapat 500,000 hektar, saya jangkakan mungkin pengeluaran padi akan meningkat sehingga 80 peratus dan mencukupkan SSL. Kita tidak perlu 100 peratus sebab ramai juga yang memilih beras basmathi, jasmine serta beras wangi, yang itu mungkin dalam kalangan 20 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN