Nahas maut: Syarikat lori treler, bas berisiko dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Nahas maut: Syarikat lori treler, bas berisiko dikenakan tindakan

ANTHONY Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat lori treler dan bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 203.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka semalam berisiko dikenakan tindakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sudah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan untuk menjalankan siasatan terperinci dengan kadar segera berhubung punca kemalangan.

Kata beliau, JPJ juga akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler dan bas yang terlibat.

“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan 7 nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun terlibat dalam kemalangan maut itu dan setakat ini, seramai 33 mangsa turut dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata, nahas kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

Kini, mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan kenderaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony turut menyampaikan ucapan takziah mewakili Kementerian Pengangkutan kepada keluarga-keluarga mangsa yang terlibat di dalam nahas tersebut.

“Saya, bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh semalam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya